Review Buku - Impian Jalanan


Assalamualaikum wbt,

Bismillahirrahmanirrahim, kala langit sedang rancak mencurahkan isinya yang melimpah, jemariku pun menoktahkan helaian terakhir #ImpianJalanan hasil ke-3 Teme Abdullah. Entah bagaimana aku mahu simpulkan, perasaanku berkecamuk. Hati aku hampir terasa mahu pecah dek sakit yang menyapa kala lembaran bab-bab di tengah naskah semakin jauh aku selak. Tertawa aku sendiri kerana tak terduga rasa suka kepada si peninta memberi kesan hingga sebegitu rupa terhadap diriku. Meletakkan angan-angan kosong yang aku tahu tak akan pernah tercapai. Sungguh lucu saat terkenangkan, aku hampir menoktahkan bacaan sebelum ke lembaran belakang kerana tak sanggup meneruskan bacaan. Iyalah, risau aku terduduk menangis kecewa tanpa punca. Tak pasal dipandang aneh ahli serumah. Permainan perasaan.

Seperti selalu, hari aku menghabiskan cucian longgokan pakaianku merupakan hari aku menghabiskan buku lama ataupun memulakan bacaan buku baru. Malam semalam mula membasuh menggunakan mesin basuh manual, sambil menanti aku menghabiskan #ImpianJalanan berhenti seketika untuk tidur lalu disambung semula usai pulang dari pasar hingga kulit belakang buku. Lalu sisi pandang aku pada si penulis mula berkecamuk. Biasalah, penulis yang aku jadikan idola selalunya aku menggambarkan yang sempurna sahaja terhadapnya. Ternyata dia melalui fasa kekosongan tika memiliki segalanya.

Sampai sekarang aku masih meletakkan respek yang tinggi terhadap Teme kerana tetap merahsiakan identiti diri daripada pengetahuan umum. Biarlah kekal misteri kerana hati ini ujiannya sangat besar saat berada di puncak. Hingga aku merasa, andai suatu hari nanti Teme membongkarkan siapa dirinya mungkin beliau tidak lagi menjadi yang ekslusif terhadapku kerana mutiara yang tersembunyi makin direbut orang. Haha, aku merepek lagi.

#ImpianJalanan, siri Jalanan yang semakin tebal. Melengkapkan perjalanan hidup seorang Teme daripada dua siri sebelumnya. Walaupun watak dalam naskah ini seorang Iskandar/Ikiy, tapi aku merasa watak utama itu orang yang sama. Tidak asing gaya penulisannya, bermula dengan prolog yang menimbulkan pertanyaan kepada si pembaca. Tak kurang aku, hampir menyimpulkan rompakan apa yang Iskandar mahu lakukan? Ah hati, yang buruk sahaja telahanku. Lalu kisah ternyata dimulai dengan perjalanan hidup anak kecil yang bagiku bukan cara normal anak-anak biasa seusia dia. Tubuh kecil itu membebani kocakan perasaan seorang diri. Aku turut menitis air mata memikirkan layanan yang diterima dia hanya kerana personalitinya yang unik dan lain daripada orang sekeliling. Namun, kedegilan yang ditunjukkan dalam penulisannya sebelum ini ternyata sudah alami sebati dari muda. Perasaan kecewa dikhianati dan ketinggalan jauh, tidak dipandang satu kekalahan padanya. Lagi-lagi ada suri hati yang menjadi pendorong api semangatnya. Lalu dipasakkan cita-cita, dia yang terpencil boleh dipandang hebat oleh semua orang. Ternyata keinginannya bukan sekadar omong kosong, malah akal geliganya bijak menyusun strategi demi mencapai cita-citanya. Di usia sekecil itu, sudah mampu membaca psikologi manusia. Licik dan sungguh kesungguhan Ikiy. Memanfaatkan satu-satunya kemahiran diri, menjadikan kejayaan sekeliling sebagai pendorongnya untuk berjaya. Liku kecilmu penuh dengan warna-warni Ikiy. Kau luar biasa.

Kemudian, cita-cita yang ditanam ketika meningkat dewasa akhirnya berada di genggaman. Malah bukan biasa-biasa kerjaya arkitek yang disandang. Menjadikan hobi sebagai bidang kerjaya, nikmatnya ia aku juga terasa. Segala kegigihan yang diusahakan, akhirnya menghasilkan buahnya. #ImpianJalanan sebagai bukti, anak kecil penuh kekurangan sudah berjaya memiliki segala yang dimahukan. Namun, di saat hatiku memuji uniknya dia, hebatnya dia, gigihnya dia, tawaduknya dia dan dia membuktikan makna ‘zuhud’ yang diajarkan mama, rupanya Ikiy disapa rasa sunyi. Lagi-lagi rancangan hidup yang dirancang sempurna, dikhianati ketika sederhana itu yang dipamerkan. Patah hatinya memencilkan diri. Walaupun aku turut berduka (jujurnya aku tak pasti apa rasanya sebab rasa sakit kehilangan idola itu masih terasa, jadi hati aku tak sempat beri reaksi sewajarnya) tapi aku terkesan ketika Ikiy sedaya menyembunyikan segalanya daripada pengetahuan Ahmad. Cumanya, hatiku sempat terdetik bersyukurlah Ikiy, Allah datangkan ujian itu demi melindungi kau daripada manusia yang pura-pura. InsyaAllah, sudah pasti sedang dipersiapkan yang terbaik di suatu masa nanti. 

Di akhir kisah, Ikiy mengajarkanku untuk memaknai rasa syukur di saat kau punya segalanya. Ya, kisah ini sangat melengkapi siri-siri yang sebelumnya. Mungkin masih ada perjalanan episod yang seterusnya. Tapi di sini, Ikiy berjaya buktikan, dia mampu mengatasi kekurangan yang dianugerah sedari kecil malah menjadikannya suatu kelebihan,  dia mampu memiliki apa yang dimahukan bermula dari dia tak punya apa-apa. Aku hanya mahu katakan, beruntungnya si ibu dan si ayah memilik mutiara sekental Ikiy. Hebatnya dia kerana kegigihan si ibu ayah yang tak pernah berputus asa memberi dorongan, didikan dan doa tanpa putus. Kini hasilnya, sudah boleh dinikmati. Tahniah!

Yup, Teme dah buktikan ‘dia dah cuba, dia dah cerita sekarang giliran aku menyusul cerita’ InsyaAllah. Semoga barokah dilimpahi kepadanya, kerana usahanya yang tak putus dalam memotivasikan pembaca. Lebih aku suka, caranya disampaikan melalui pena bukan pada pameran harta benda. Aku tidak peduli kisah ini benar atau rekaan semata. Saat keikhlasan itu mampu menyentuh hati aku, aku tahu usahanya ini tak akan menjadi sia-sia. Terima kasih Teme, Terima kasih ‘walidain’ Teme kerana melahirkan insan sehebat dia untuk dijadikan contoh.

Adios!

-----------------------------


Sekian.

Rumah Konoha,
Ain Chok,
Casablanca,
Morocco

Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Puisi: Lebah dan Semut

Review Novel - Maia, Tiada Rahsia Tersembunyi

Ye Fei Ye