Resensi Novel - Sir Monster, Marah yang Menggunung Sayang

 Assalamualaikum semua..

Hari ni aku nak cerita pasal novel yang baru jha aku khatam semalam. Tak sangka sebenarnya boleh habiskan novel tu dalam masa sehari. Melekat tak mau lepas. Dari petang sampai pagi buta. Haish! Kalau tiap2 hari aku macam ni, mahu pendek umur nanti. Hehehehe..

Sebelum tu aku bagitahu dulu identiti novel yang aku baca.

Tajuk: Sir Monster
Pengarang: Sera Elya/Que Sera Sera
Penerbit: Enig Magis Press
Tahun penerbitan: 2018
Muka Surat/Bab:  436 m.s (tak termasuk kulit) /102 Bab
Harga: RM30 (tak termasuk penghantaran)
Bintang: 4/5 🌟

Genre
Fiksyen romantis

Tema:
May-December Relationship

Layar Cerita:
Sebelum ini Sera Elya menggunakan nama pena Que Sera Sera dalam novel2 beliau. Jadi aku akan menggunkan singkatan QSS untuk merujuk kepada penulis kerana sudah terbiasa mengenali penulis dengan nama pena itu.

Aku tak ingat  ini karya QSS yang ke berapa aku baca. Yang aku tahu, Sir Monster merupakan karya QSS yang pertama aku baca dalam genre fiksyen romantis. Sebelum ini, karya2 beliau yang telah aku berjaya khatam majoritinya dalam kategori aksi-fantasi. Menyambut saranan QSS yang mengajak aku membaca karya beliau dalam genre romantis maka Sir Monster kini sudah berjaya aku habiskan dari kulit ke kulit. Kata penulis akan terdapat kelainan dalam karya beliau dalam genre ini. Tidak menyangkal kata-kata tersebut, ternyatalah ungkapan itu bukan omong kosong. Memang! Sememangnya ada kelainan pada penulisan beliau dalam genre ini.

Pada awal-awal bab, aku sebenarnya agak skeptikal. Aku hampir menghentikan bacaan walaupun ketika itu bilangan muka surat belum lagi mencapai ¼ daripada novel. Maklumlah, aku kalau bertemu babak-babak yang membuatkan telinga aku berbulu ni cepat saja hati ni menyampah. Lagi-lagi membayangkan sikap pelajar sekolah yang berperangai begitu terhadap guru mereka. Guru besar pula tu. Apatah lagi golongan wanita. Terasa maruah golongan aku ini terlalu murah. Hahaha.. sedangkan hakikatnya apalah nak dihairankan. Budak2. Belum matang lagi. Lagi-lagi perempuan, cetek akalnya sentiasa mahukan perhatian sahaja. Kalau tak dapat, mulalah dengki mendominasi sikap. 

Mujurlah perawakan Deanaress (Watak utama) meneutralkan perasaan hati aku ni untuk terus mahu mencari kelainan itu tanpa berhenti. Mujur juga ‘turning point’nya tidak lama untuk ditunggu, saat di mana hubungan kedua-dua hero dan heroin tidak lagi ‘taboo’ untuk dibina kearah hubungan yang lebih serius dan matang. 

Aku bukan orang yang suka menghalang hubungan antara guru dan pelajar apatah lagi menafikan jodoh yang ditakdirkan, cumanya kalau di medan pendidikan yang melibatkan anak-anak dibawah umur, susah nak pujuk hati menerima. Hehehe.. maafkan aku terkeluar daripada zon topik.

Bermula dari ‘turning point' itu, aku memang melekat. Tak mahu letak. Sampai aku pasang mentol dalam selimut nak baca punya pasal. Terpaksalah begitu mengenangkan roomate aku dah tidur. Sir Monster sebenarnya mengisahkan tentang kematangan dalam perhubungan. Bagaimana Eiden (Watak utama) mahu berdepan dengan Deanaress wanita yang dikasihi yang umurnya sedekad berbeza dengannya. Melayani kerenah wanita yang sifatnya yang degil dan keanak-anakan. Malah terlalu mudah tersentap dan membuat spekulasi sendiri tanpa mahu bersedia mendengar penjelasan yang lebih lanjut. Bagi Deanaress, apa yang difikirkan dialah yang benar belaka. Biasalah remaja perempuan, masih terlalu hijau dan polos fikirannya. 

Eiden dilema mahu melanggar prinsipnya mempunyai hubungan dengan anak muridnya. Namun demi turutkan kata hati dan rasa tanggungjawab yang tinggi, prinsip  yang dibina diruntuhkan demi seorang Deanaress. Apatah lagi setelah dibebaskan dari belenggu sebagai seorang ‘guru besar’. Deanaress juga dilema mahu meletakkan fikirannya yang cetek setaraf dengan seorang lelaki matang supaya kefahaman sentiasa ada antara mereka. Namun, kepolosan Deanaress itulah yang mengundang Eiden untuk terus mahu melindungi gadis yang sudah bertakhta di hatinya.

Aku sangat menikmati perjalanan sketsa-sketsa mereka. Hingga ke titik akhir aku tersenyum suka. Cumanya, ketika di klimaks cerita dimana watak antagonis mahu membunuh Deanaress dek obsesinya terhadap Eiden, aku lebih berharap babak2 itu diceritakan perjalanan ceritanya berbanding memetiknya melalui throwback watak dan perbualan semata-mata. Tujuannya semestinyalah aku mahu merasai debaran ketika babak2 panik itu berlaku. Namun tidak mengapa, sekurang-kurangnya tidaklah tergantung begitu sahaja bagaimana kejadian Deanaress dan kawan baiknya itu ditikam. Mahu meroyan aku!

Banyak sebenarnya isu-isu semasa yang disentuh penulis dalam karyanya ini. Walaupun tidak terlalu jelas hingga membayangi jalan cerita, namun jika ada yang cakna kelak dia akan memahami. Misalnya isu sikap ibu bapa yang terlalu mahu masuk campur dengan pentadbiran sekolah hingga sering mempersoalkan tindakan sekolah terhadap anak2 mereka. Hingga dibawa ke meja undang-undang. Juga kesal dengan sebahagian ibu bapa yang bersikap lepas tangan dengan keadaan anak-anak mereka di sekolah. Aku juga sebenarnya aneh dengan kewujudan dua golongan ini. Tapi kalau mahu membincangkan lebih panjang isu ini, perlu aku buka topik baru untuk diulas. Tak cukup kertas pula nanti kalau mahu sentuh baik buruk perkara tersebut. 

Okay, back to the topic.

Selain itu, penulis juga menimbulkan konflik ibu bapa yang terlalu mengongkong kehidupan anak-anak mereka hingga tidak memberi muka untuk anak-anak membuat pilihan. Seperti yang berlaku pada Deanaress si watak utama. Walaupun begitu, aku suka bagaimana penulis menyimpulkan konflik ini dengan cara yang berhemah. Demi itu, tidaklah kedua ibu bapa Deanaress selamanya terbeban dituding jari dek kesalahan sikap mereka yang terlalu mengongkong. Apatah lagi Deanaress semakin menunjukkan kematangannya hasil bimbingan Eiden yang memujuk rasa bencinya kepada minat yang dicintai. Hasilnya bidang yang diceburi yang dulunya dibenci malah menjadi tiket dia membina cita-cita masa depannya. Seperti Eiden yang dulunya juga dibenci malah menjadi pasangan yang menemaninya di liku-liku ke depan. Benarlah kata orang dulu-dulu, jangan terlalu membenci nanti terpupuk rasa sayang. 

Banyak lagi sebenarnya kalau mahu dikongsi sketsa2 lucu, liku-liku duka apatah lagi konflik kematangan dalam hubungan mereka. Lagi-lagi mengenangkan sikap obses pihak ketiga yang menguji dan mengundang celaka. Tagline novel ini, ‘Haters gonna hate’. Ya benar! Jadi lebih baik abaikan kewujudan-kewujudan orang sebegini. Namun kadang-kadang itu sikap waspada itu harus demi keselamatan diri. Lebih menyedihkan aku bila terkenangkan hubungan bersahabatan menjadi galang-gantinya demi melunaskan nafsu obsesi ini. Ah! Aku kalau isu kepercayaan dan persahabatan yang diketengahkan, hati aku sangat sensitif dan perit. Aku tahu bagaimana rasanya dikhianati orang tersayang. Sakit hingga memumupuskan rasa percaya. Huhuhu..

Namun, cukuplah itu sahaja yang suka untuk aku petik. Aku lebih sarankan pembaca membaca sendiri naskah Sir Monster demi menyusuri perjalanan hidup Deanaress dan Eiden. Novel ini sangat disarankan buat mereka yang melalui perhubungan ‘May-December relationship’. Mungkin kematangan Eiden boleh lebih mendidik memahami pasangan ataupun kepolosan Deanaress boleh mengajar untuk lebih berfikir panjang sebelum membuat keputusan. 

Firasat aku, novel ini bakal ada siri sambungan. Aku tidak tahu, hanya firasat sahaja. Mungkin boleh ditanyakan kepada penulis nanti. Kata penulis, Sir Monster merupakan perhentian terakhir beliau dalam penulisan novel bergenre fiksyen romantis. Tapi mengapa boleh timbulnya firasat tak berasas aku itu kerana cita-cita yang bakal diceburi Deanaress kelak. Adakah penulis akan menulis novel ala-ala drama CSI nanti?

Moral cerita:

  1. Bersikap matang dan penuh toleransi dalam melalui sesebuah perhubungan. Perbincangan untuk setiap perkara itu boleh menghilangkan rasa syak wasangka dan spekulasi sendiri.
  2. Menjauhi sikap obses yang melampau. Suka itu tidak salah. Jika sudah ditakdirkan tidak boleh berpasangan dengan orang yang disukai, majulah ke depan. Lebih banyak yang boleh dilihat jika masa lalu dilepaskan. Namun jika obses yang menguasai diri, buruk-baik tiada bezanya lagi. Jika tidak dikawal kelak bakal mengundang celaka terhadap diri dan orang keliling.
  3. Menjadi ibu bapa itu banyak tanggungjawabnya. Tidak dinafikan, ibu bapa hanya mahu yang terbaik buat masa depan anak-anak. Namun anak juga manusia. Cuba fikirkan, jika pilihan diri sendiri yang dirampas, bukankah hati memberontak mahukan kebebasan. Berbincanglah, itu tindakan terbaik untuk mengambil sebarang solusi.
  4. Percaya terhadap pasangan. Dalam melalui komitmen perhubungan, kepercayaan itu sentiasa diuji. Jangan semborono menuruti perasaan. Jika ada ragu-ragu, bertanyalah untuk selesaikan konflik. Lari tidak menyelesaikan masalah!
  5. Dan banyak lagi. Sila baca sendiri.

Itu sajalah. Moga menarik dan bermanfaat. Adios!

5.56 p.m Isnin | 25 Nov 2019
Rumah Konoha
Casablanca
Morocco







Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Review Enovel - A Billion Stars Can’t Amount to You

Puisi: Kolam Kenangan

Puisi - Ramuan Cinta