Cerpen Tuhan Jadikan Dia Jodohku II

Bayu pantai menyapa lembut tubuhku yang dibiarkan duduk berlapikkan pasir sebagai alas tersangatlah mendamaikan hati yang dilanda kemurungan. Kelelahan yang terbeban di bahu tidak terasa melihatkan keindahan ciptaan Ilahi yang terbentang di depan mata. Air mata yang membasahi pipi tadi mulai mengering disapu bayu yang memahami. Bibir yang tadinya kaku tidak mampu terukir senyuman kini dengan sendirinya terukir ceria. Inilah terapi buatku untuk memulihkan semangatku yang merudum jatuh. Kaki sengaja aku lunjurkan bermain dengan lembut pasir. 

Selalunya tiada orang di sini, di kawasan kegemaran buat aku untuk meluahkan rasa yang agak terpencil dengan kunjungan orang untuk memancing atau keluarga untuk berkelah. Tapi, petang itu datang sebuah keluarga menghabiskan waktu bersama berkelah di sini. Lengkap dengan persiapan berkelah, mereka berehat di bawah rimbun pokok yang tidak jauh dari tempat aku melunjurkan diri. Terbantut niatku untuk baringkan tubuh seperti tabiat selaluku jika ke sini. 

Apa yang buatkan aku berada di sini? Seawal pagi aku mengadu nasib terhadap hempasan ombak yang membisu. Mencurahkan mutiara air yang ditahan semenjak semalam. Semuanya kerana Mak Ina! Disebabkan terpengaruh dengan hasutan Aina, entah apa yang dikhabarkan Aina tentang aku kepada Mak Ina. Tanpa tahu apa salahku, tubuhku yang saat itu baru menyapa tilam untuk berehat terasa sakit dikejutkan Mak Ina dengan rotan. Berbirat tubuhku ditambah pula lebam-lebam dek sepak terajang yang aku  terima semalaman berhadapan dengan amukan Mak Ina tak menentu. 

Terlelap dengan esakan, pagi tadi dikejutkan lagi oleh Mak Ina untuk meneruskan rutin harianku. Tapi untuk kali ini Mak Ina tidak meneruskan tabiatnya menyambung lenanya kembali, tetapi menjadi pemerhati setiap apa yang aku lakukan. Ada saja yang tidak betul di mata Mak Ina buatkan aku menerima nasib yang sama seperti semalam. Belum berkurang sakit semalam ditambah lagi dengan hentaman yang baru. Ya Allah, apa salahku kali ini? Persoalan itu berlanjutan sehinggalah pagi tadi apabila aku terdengar perbualan Mak Ina dengan Aina. 

Luruh jantungku mendengarkan mulut busuk Aina menjaja ceritaku berbuat sumbang di luar rumah. Aku menjual maruahku demi mendapatkan wang untuk menampung belanja harianku - itu kata Aina menghina habis-habisan harga diriku. Tidak hairan mengapa tiba-tiba soal aku sering keluar rumah dan mengikut jejak ibuku sentiasa diulang-ulang Mak Ina. Mungkin inilah sebabnya. Entah, tidak tahu kenapa cerita itu ditimbulkan Aina tapi cukup buatkan aku sangat terpukul. Sakit hatiku ditambah lagi dengan rasa kecut perut melihat perubahan wajah Mak Ina apabila mendengar Aina khabarkan perbuatan terkutukku itu mula menjadi buah bicara orang kampung. Lebih membuatkan Mak Ina marah apabila diberitahu orang kampung menuduh Mak Ina menjual aku untuk mendapatkan wang express akibat terdesak inginkan harta wasiat ayah yang masih lama untuk menunggu bagi memilikinya.
Dengarkan sahaja itu, suara Mak Ina bergema melolong memanggil namaku. Melihat sahaja kelibat aku, seperti sudah diagak, bersama rotan di tangan tubuhku diterkam amarahnya yang menggila. Walaupun aku menjerit dan merayu namun Mak Ina sememangnya tidak dapat dikawal lantas aku melarikan diri daripada terus dipukul. Dalam keadaan tubuh yang lebam-lebam ditambah pula darah pekat yang mengalir di hidung dan di mulut aku pergi membawa diri. Pantai yang jauh bagi orang yang berjalan kaki tidak ku endahkan. Hanya berkaki ayam, aku berlari sekuat mungkin meninggalkan segalanya di belakang.

Sekarang, entah berapa lama aku di sini aku tidak tahu. Tenggelam dengan perasaan sendiri aku menjerit dan menangis semahu-mahunya melawan kuat suara hempasan ombak. Entah sejak bila aku terlelap, sedar-sedar sahaja keluarga yang aku katakan tadi sudah sibuk dengan aktiviti mereka di bawah rimbun pokok. Aku hanya membiarkan mereka dengan urusan mereka dan aku kembali menyambung lamunanku.

“Ain? Ain kan?” Suara seorang menyapaku lembut. Aku pandang ke kiriku melihat gerangan siapa yang menegurku itu. Terjegil aku melihat gerangan lelaki tersebut membuatkan keadaanku yang bebas melunjur terus bersila sambil melangut melihat si dia yang sedang berdiri. Dia! Lelaki cina itu! Muhammad Fateh! Pemilik account Facebook yang aku lawati setiap hari. Rasa macam tak percaya pula dia di depan aku. Macam mana dia ada dekat sini? Dan macam mana dia kenal aku? Pertanyaannya dan pertanyaanku tidak terjawab dengan kebisuan kami. Agak lama aku melihat wajahnya, ceria yang sepatutnya bertandang di hatiku tidak terasa. Tidak tahu untuk beriaksi apa aku membuang pandang kembali ke pantai. Entah kenapa, aku terasa sangatlah kosong sekarang ini. Dia yang sepatutnya menjadi peneman ceria imaginasiku turut tidak membantu aku untuk kembali tersenyum. Dia duduk bertinggungkan kakinya berdepan denganku yang membuang pandang ke arah lain.

“Ain..” Dia panggil lagi. Tanpa rasa untuk menjawabnya aku biarkan panggilan itu berlalu dibawa angin.

“Ain..” Sekali lagi dia memanggil. Tetap dengan riaksi aku, dia aku abaikan.

“Ain.. pandang saya.” Agak kuat bunyinya seperti marah. Dengan riaksi yang lemah aku memandangnya tanpa perasaan walaupun secalit senyuman untuk diberi. Sunyi seketika di antara kami. Dia seperti mengamati wajahku yang entah bagaimana keadaannya. Setelah menghebuskan helaan nafas seperti mengeluh, dia keluarkan sapu tangan biru kecil dari poket jeansnya. Botol mineral yang dipegang tangan kirinya dibuka, kemudian airnya dituang sedikit pada sapu tangan untuk dilembabkan. Tanpa diduga tindakan dia, tangannya dengan lembut cuba mengelap darah di hidung dan bibirku yang sudah lama mengering. Aku terkaku lagi dengan sikap dia. Tapi aku tak suka meminta simpati orang lain jadi aku tak suka kebaikan dia.

“Stop it..” Menggunakan suara yang lemah aku berkata sambil mataku paku memandang wajahnya yang putih bersih. Buat-buat tidak tahu dengan permintaanku, dia meneruskan perbuatannya membersihkan wajahku yang boleh aku agak tersangatlah comot.

“Stop..” Suaraku dikuatkan lagi. Ternyata sikap manusia yang satu ini sangat degil seperti lawannya di sini. Hatiku mula terasa ingin marahkan seseorang.

“I said stop it!” Tanggannya terhenti dan matanya tepat memanah mataku. Aku terpaku lagi kerana dia. Cuba tidak mahu hilang kawalan siapa sebenarnya aku, aku segera merampas sapu tangan itu.

“I can do it by myself.” Dengan kasar aku mengelap seluruh wajahku. Tidak cukup dengan sapu tangan itu, lengan baju aku gunakan untuk mengesat wajahku yang comot dengan air mata bercampur darah. Sambil menahan sakit pada seluruh tubuh dari hujung kaki hingga ke kepala, aku habiskan urusan bersihkan diri. Melihat lebam-lebam dan birat-birat rotan pada kaki dan tanganku sebak kembali menguasai diri. Aku berhenti daripada kerjaku, lemah hanya menunduk ke bawah. Dia memerhati sebelum berbicara.

“If you want to cry. You should do it. I think you really need it for getting better.” Dia seperti tidak kisah sekiranya aku ingin menangis semahu-mahunya di hadapan dia. Sekali lagi aku memandang wajahnya yang mengukir senyuman kecil, kemudian memandang kumpulan keluarga tadi yang sedang memandang ke arah kami. Adakah itu keluarganya? Mereka kelihatan mesra mengangkat tangan kepadaku. Sepertinya tidak kisah anak lelaki mereka tersesat di hadapanku yang terlalu sibukkan orang yang dia tak pernah kenal. Aku mencerna kembali kata-katanya tadi. Adakah aku terlalu lemah di matanya sehingga dia berkata demikian? Tidak! Aku kuat! Aku perlu kuat! Sebab aku tahu Allah akan keluarkan aku daripada penderitaan ini. Dengan hembusan semangat baru aku terus berdiri. Dia melangut melihatku berdiri sebelum dia turut berdiri berdepan denganku. Aku menghulurkan sapu tangan yang sudah kotor dengan warna merah hitam. Dia jongkitkan keningnya melihat huluranku tanpa rasa untuk menyambut.

“Terima kasih untuk ini. Saya perlu balik sekarang. Nanti mak saya risau.” Risau? Terasa lucu pula dengan kata-kataku itu. Tetapi tiada siapa yang ingin ketawa ketika ini kerana aku tak kenal dia dan dia tak kenal siapa aku. Sekadar nama siapa pun boleh tahu kan. Dia buat bodoh dengan huluranku.

“Gamaknya awak pulangkan barang saya dalam keadaan macam ni?” Dia bertanya dengan memek muka bibir disengetkan ke kiri. Aku blur sekejap.

“Saya tak nak ambil benda tu. Apa kata awak bawa balik dan basuhkan sampai bersih. Then, pulangkan semula di kem minggu depan. Pastikan awak datang.” Selepas berkata demikian dia senyum segaris kepadaku kemudian berpusing ke arah bertentangan memulakan langkah ke kelompok keluarganya. Seperti faham apa yang dia nak, aku jongkit bahu tidak kisah. Kecuaian aku juga, sudah dia pinjamkan sapu tangannya aku pula dengan tidak berjasa memulangkannya dalam keadaan kotor. Aku mula berpusing dari arah bertentangan untuk pulang ke rumah. Sejauh mana aku lari, banglo itu satu-satunya tempat untuk aku berteduh, jadi aku harus pulang. Sebelum melangkah lebih jauh, aku berpusing kembali memandangnya yang membelakangiku. Dengan gaya tangan kiri dimasukkan ke dalam poketnya sambil berjalan dia mengangkat tangan kanannya tinggi lalu dilambai-lambai tanpa memandang aku. Huh! Gentle sangat la lambai belakang macam tu. Whatever! Aku teruskan niatku untuk pulang ke rumah dengan berkaki ayam. Fikiranku kembali memikirkan dia. Kenapa Allah hadirkan dia untuk menemuiku? Dan aku mengaku hadirnya dia cukup buatkan aku terasa hadirnya seorang teman yang aku harapkan sebagai penyelamatku seperti impianku di waktu kecil… diakah?

*****

Hari ini, sudah seminggu aku dikurung dirumah agam ini. Seminggu juga aku tidak hadirkan diri ke sekolah. Hari-hariku dilalui dengan birat-birat baru pada tubuh, seperti ada sahaja salahku yang buatkan Mak Ina mengamuk. Sememangnya, Aina telah memberikan satu amarah yang besar buat Mak Ina untuk jadikan aku mangsa. Sampai sekarang aku belum tahu apa salahku terhadap dia. Kenapa dia lakukan demikian terhadapku? Aku mengeluh lagi. Kebosanan yang menguasai diri aku biarkan. Mak Ina dan Aina tidak ada, mereka bercuti rasanya dan aku tidak tahu ke mana. Seperti sudah mereka rancang, disebabkan tidak mahu aku melarikan diri, rumah agam ini awal-awal sudah dikunci rapat. Tiada siapa boleh masuk dan tiada siapa boleh keluar. Walaupun terdapat beberapa orang kampung yang berkali-kali mengetuk pintu memanggilku, aku hanya mampu mengatakan aku tidak apa-apa. Sedangkan pintu besar yang diukir cantik yang menjadi ruang keluar masuk manusia awal-awal sudah dimanggakan. Lantas bagaimana untuk aku keluar dari sini?

Aku memandang pada calendar yang tergantung pada dinding. Tanda pangkah pada tiga tarikh yang akan datang hanya mampu aku pandang kosong. Sekiranya aku belum belum dilepaskan daripada kurungan ini, tiadalah rezeki buat aku untuk menyertai bengkel teknik menjawab matematik di PLKN Z, Kedah esok. Sapu tangan milik dia yang aku lipat dan aku letakkan di atas meja aku pandang sekilas. Teringat pesanan dia tempoh hari. Hurmm.. apa aku boleh buat. Dunia aku dikawal oleh Mak Ina dan aku sebagai seorang anak tiri yang patuh hanya mampu menurut. Walaupun aku ada pilihan untuk memberontak tapi sekiranya aku berbuat demikian siapa lagi harus aku bergantung harapan?

Hurmm.. maaflah budak cina. Kalau ada rezeki aku akan pulangkan barang kau. Kalau ditakdirkan untuk kita berjumpa, ianya pasti akan berlaku juga. Kalau tak aku akan simpan sahaja sebagai kenangan. Aku mengambil botol minyak gamat laluku sapukan minyaknya bada birat-birat  dan lebam-lebam di tubuh aku. Mujur sahaja wajahku tidak ketara kesannya. Bengkak mulut pada bibir akibat amukan Mak Ina minggu lepas sudah surut, lebam juga sudah tidak kelihatan. Tetapi pada tubuhku yang lain, akibat setiap hari menerima hentaman so teruk juga lebamnya. Membiru kesannya bagaikan aku ini mangsa dera. 

Sebut fasal dera, aku teringat akan pujukan Mak Milah yang sering mengajakku untuk membuat laporan perbuatan Mak Ina, tetapi aku enggan. Hatta kepada orang kampung yang lain sudah aku maklumkan wakil Mak Milah agar tidak mengambil apa-apa tindakan kepada pihak berkuasa terhadap Mak Ina. Walaupun Mak Ina dan Aina sentiasa berlaku kejam terhadapku tetapi apa yang mampu aku lakukan hanya berserah. Aku sudah tidak punya siapa-siapa untuk meneduh kasih. Harapkan Mak Milah, wanita itu juga punya keluarga sendiri yang harus diberi perhatian. Kerana ini, waima sekejam Hitler sekalipun mereka tetap satu-satunya keluarga yang aku ada.

Pagi berganti petang, petang berganti malam. Sendirian aku di rumah, setelah selesaikan rutin harianku waktu-waktu yang terluang aku habiskan dengan mengulangkaji pelajaran untuk SPM ini. Sambil merenung nasib sendiri, keletihan yang begitu terasa membuatkan aku akhkirnya terlelap di atas timbunan buku-buku.

“Hey perempuan, apa kau buat dalam rumah aku lagi?” Suara Mak Ina yang lantang sekali lagi mengejutkan aku. Terpinga-pinga aku dengan pertanyaan Mak Ina itu. Dalam keadaan separuh sedar aku cuba mencerna apa yang cuba Mak Ina sampaikan. Tapi riaksi aku yang sebegitu membuatkan Mak Ina bertambah bengang dengan aku. Rambut panjangku yang mengurai ditariknya kasar membuatkan tubuhku automatik tergerak menghampirinya sambil menahan sakit.

“Kau ni kalau tak buat aku sakit hati tak boleh ke? Apa yang kau melingkar macam ular sawa dalam rumah aku lagi ni. Aku dah cakap kan, kalau kau nak pergi kem ke apa ke. Aku suruh kau blah awal kan! Apa kau buat lagi dalam rumah aku, hah!?” Terjongkit-jongkit bahu aku mendengar sentakan suara Mak Ina yang semakin meninggi. Kepalaku dilepas kasar. Aku kembali berfikir, sudah hilang ingatankah dia? Bukahkah aku yang dikurungnya lalu bagaimana aku ingin keluar?

“Maaf Mak Ina. Bila Mak Ina sampai? Maaf Ain tertidur.” Walaupun tidak sesuai pertanyaanku kala ini tapi aku cuba meraih tangannya untuk dicium sebagai tanda hormat. Laju sahaja Mak Ina melarikan tangannya daripada dipegang olehku. Kepalaku ditolaknya lagi.

“Kau tak payah nak buat baik dengan aku. Perempuan sundal! Aku nak sebelum aku bangun nanti kau dah berambus dari sini. Faham!” Sambil berkata kepalaku ditujal-tujalnya berkali-kali. Aku mengangguk perlahan. Dia menjegilkan matanya sambil bercekak pinggangnya sebelum berlalu keluar dari bilik aku. Hurmm.. aku mengeluh perlahan. Kadang-kadang aku tak dapat nak memahami dengan semua tindakan Mak Ina. Tak apa Ain. Sabarlah. Allah akan bantu kau. Bersyukurlah sekurang-kurangnya Mak Ina masih berpegang pada janji dia untuk benarkan aku menyertai mana-mana kem yang sekolah arahkan. Mungkin Mak Ina ada berjanji dengan sekolah untuk izinkan aku pergi? Siapa tahu kan?

*****

Usai pulang dari dewan utama di mana tempat kami mengadakan bengkel teknik menjawab tadi, aku rehatkan diri di kerusi batu yang berdekatan dengan surau. Sementara menanti yang lain selesai minum petang aku meneruskan latihan yang diberi guru-guru bimbingan bengkel tadi. Petang ini jadual agak free, jadi ramai yang bersetuju nak jogging and ronda-ronda dekat atas bukit sana, kawasan rasmi penempatan pelatih-pelatih PLKN. Jadi, seperti maklumat yang diperoleh mengenai PLKN sudah tentulah ada flying fox, climbing wall dan macam-macam lagilah. Tapi disebabkan kami tak disponser untuk buat semua tu, kami hanya naik menghirup udara segar di atas bukit sambil menjadi pemerhati kawasan PLKN yang sememangnya cantik gila! Subhanallah!

Peluang yang ada ini, rakan-rakanku yang lain sibuk mengisinya dengan bergambar. Untung-untung pula  port cantik, background pun cantik tambah lagi memory phone Si Aton pulak 8G, rugilah tak posing habis kan! Hehe.. sekali-sekala naik hantu dapat camera macam ini lah jadinya. Tapi buat aku yang jarang mengecapi keseronokan begini hanya menyertai sekadar suka. Kawan-kawan lain yang mengerti kehidupan aku tidak bertanya banyak, hanya cik Anis tu je sibuk sikit mulut dia ambil berat akan diri aku. Laluan jalan tar yang lenggang dikuasai oleh kami berlima Atun, Amy, Arya, Anis dan aku, macam-macam gaya kami buat. Tapi, keghairahan kami ‘berposing’ terhenti apabil sekumpulan pelajar lelaki datang melalui jalan itu. Mereka berjalan terus untuk menaiki bukit, berjogging mungkin. Aku hanya pandang sekilas dan aku tahu dia ada dalam kumpulan itu. Aku duduk di atas batu besar sambil mengadap  ke arah depan yang membentangkan keindahan bukit bukau. Keasyikan aku menikmati keindahan ciptaan diganggu oleh Anis. Aku pandangnya geram. Pantang aku diam mulalah dia nak kacau.

“Apa?” Berdecit suara aku bertanya. Anis macam biasa dengan kerang busuk dia.

“Tuu.. dia panggil.” Memuncung mulut Anis menunjuk kepada seseorang bersama senyumannya yang penuh curiga. Aku mengalihkan pandangan ke arah yang ditunjukkan Anis. Dia.. sedang berdiri, bersandar pada tiang elektrik sambil memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket dan memandang ke bawah. Tenang lagaknya agak mempersonakan. Aku kembali teringatkan suruhannya di pantai. Sapu tangan yang aku simpan di dalam poket aku keluarkan lalu berjalan menghampiri  dia.

“Nah. Terima kasih.” Aku menghulurkan lipatan kecil kain itu kepada dia. Dia pandang aku dan melihat pada huluran aku. Agak lama dia memandang kosong pada tanganku yang menghulur padanya dan kemudian dia memandangku lagi.

“Boleh saya tahu, kenapa tangan dan muka awak lebam dan ada kesan birat?” Aku terkedu dengarkan persoalannya itu. Lengan bajuku yang terselak di pergelangan tangan menampakkan kesan lebam dan birat padanya segera aku tutup. Aku tergumam untuk menjawab persoalannya itu. Dari gayanya tadi dia kini sedang memeluk tubuh sambil tepat memandang wajahku menanti jawapan.

“Maaf, bukan tak nak jawab. Tapi, tak ada sebab kot saya nak beritahu awak fasal saya. Lagipun saya tak kenal awak dan awak pun tak kenal saya.” Segaris ayat yang aku rangka laju mengalir di bibirku.

“Siapa cakap saya tak kenal awak?” Dia membalas. Aku mula terasa ingin mengeluh. Tambahan lagi, aku perlu bercakap dengan orang yang aku tak kenal dalam keadaan berdepan macam ni. Walaupun aku selalu stalk dia di FB tapi antara stalk dengan face to face lain. Sebabnya, aku nak jaga hati aku daripada melampaui batas.

“Saya yang cakap. Dan boleh tolong ambilkan sapu tangan awak?” Aku menghulurkan padanya sekali lagi. Kali ini huluranku bersambut. Dia memasukkan sapu tangan itu ke dalam poketnya.

“Terima kasih.” Usai berkata demikian aku berundur diri.

“Eh.. kejap.” Langkahku terhenti. Tanpa suara aku menjongkit kening kepadanya. Isyarat kenapa?

“Sorry, I’m not going to get invoved in your affairs. But, as a friend I think I should say this. Can you please just leave the life you live now. It enough sacrifice for the people who do not appreciate you.” Dia berkata sambil sayu memandang aku. Aku sekilas memandangnya dan tersenyum kecil. Tanpa membalas walau sepatah aku berundur meninggalkan dia. Dia juga tidak memanggilku hanya biarkan aku dengan haluanku. Aku menghampiri rakan-rakanku yang masih sibuk berposing. Anis sahaja yang tersenyum sumbing penuh misteri. Malas ambil kisah aku buat tak tahu. Maaf Fateh, macam saya cakap tadi saya tak kenal awak dan awak tak kenal siapa saya. Jadi cukuplah urusan kita selesai di sini. 

*****

Universiti Y, Penang. Hari kedua di bengkel teknik menjawab Bahasa Inggeris : Selesai sahaja slot pagi untuk CW paper 1 BI, berpusu-pusu pelajar keluar dari dewan kuliah yang dingin dengan air-cond yang terlalu rendah suhunya. Aku berjalan perlahan di belakang, tidak berminat untuk turut berebut-rebut seperti yang lain ke tingkat bawah untuk makan petang. Perbualan rancak antara rakan-rakanku yang lain tak menarik minatku untuk sertai. Hanya sekadar mendengar selebihnya banyak mengelamun. Walaupun sudah masuk hari ke dua, semangat aku di sini agak kurang. Sebabnya? Sebabnya… entah aku pun tak tahu. Kalau ikutkan dari rumah, selepas Mak Ina izinkan aku pergi jujur aku cakap sememangnya apa yang aku rasa tersangatlah semangat. Jika ditanya, hai Ain.. semangat belajar ke semangat lain ni? Jujur juga aku tak boleh jawab. Dua-dua kot! Mana boleh ketepikan niat utamakan, belajar! Jadi, kenalah semangat. Yang satu lagi tu.. ar.. hurmm.. forget it.

Semangat berkobar-kobar aku semakin lama semakin menurun apabila orang yang aku nantikan tak muncul-muncul. Pelik kan? Kenapa pula aku nak rasa macam ni? Sedangkan dia yang aku tunggu itu tak ada kaitan langsung dengan aku. Sedangkan aku sendiri yang pertahankan aku tak kenal dia dan dia tak kenal aku. Jadi kenapa pula aku harus ada perasaan begini? Mungkin terasa janggal kot, selalunya aku datang mana-mana kem dia kan mesti ada. Aku pun dah jadi hobi jadikan dia eye-mo aku. Sekali lagi mohon jangan salah faham, dia sekadar eye-mo. Tak lebih okey?

Tapi untuk kali ini, dia tak ada. Walaupun tercari-cari kenyataannya dia tak ada. Dengar kata ada dua tiga buah sekolah tak datang kot. Anis pun cakap belakang dalam nada memerli atau mengusik tanya fasal dia sambil mereling aku bersama senyum misteri dia. ‘Eh, tak nampak pun budak sekolah tu datang.’ Aku yang mendengar hanya buat tak tahu. Walaupun Anis bersikap curiga dengan pertanyaan dia, tapi aku  faham siapa yang dimaksudkan Anis. Aku pun tak tahu kenapalah Anis gandingkan sangat aku dengan dia. Hurm.. dia tak ada jadi aku boleh buat apa. Buat bodoh sahajalah.

Kami menuruni anak-anak tangga terus ke kaunter bagi mengambil makanan yang disediakan untuk makan petang semua pelajar. Hanya dua bungkus roti diberi buat semua dan masing-masing sudah boleh pulang ke asrama untuk solat asar dan rehat sebelum kembali ke dewan kuliah untuk slot berikutnya selepas isya’. Sementara menunggu rakan-rakanku yang lain mengambil makanan mereka, aku berdiri agak jauh dari kaunter tadi. Kesulitan untuk memegang fail, kamus dan bungkusan makanan buatkan aku terkial-kial untuk berjalan. Tambahan pula plastik tidak disediakan, beg galas pula tidak aku bawa, sememangnya sulit untuk menjaganya agar tidak jatuh. Sambil menunduk aku memegang barang tadi. 

Tetapi perhatianku aku tertarik pada sekumpulan lelaki yang agak riuh suara mereka berhenti di hadapanku. Anis pula terpanggil-panggil namaku dalam nada berbisik. Dalam keadaan menunduk aku mengalihkan wajahku ke belakang mencari-cari suara Anis. Dia menuding jarinya ke arah depanku menunjukkan isyarat sesuatu. Berkerut-kerut dahiku dengan sikap Anis yang satu itu, kenapa dengan mak cik ni? Ingin memastikan siapa yang Anis tujukan, aku mengalihkan wajahku ke depan dan aku sedikit melangut.

 Buzzz!! Aku dan dia terkaku dengan pandangan kami antara satu sama lain. Tidak mahu diri aku terbuai dengan perasaanku, aku segera menyedar diri membuatkan gementar tiba-tiba menguasai aku. Tangan yang gementar membuatkan roti yang aku pegang jatuh ke bawah. Segera aku melarikan pandanganku dan menunduk ke bawah memungut bungkusan yang jatuh tadi. Dalam diam, aku keliru sendiri tentang diri aku. Kenapa dengan aku? Hatiku juga berubah kencang buatkan aku tiba-tiba menjadi gementar. Aku memejamkan maat buat sesaat cuba tenangkan diri. Fuh, Ain tenang.. relexs.. tak ada apa. Perubahan semasa saja tu! Erk, jawapan tak munasabah. Dan satu sahaja yang aku tak dapat menahan diri aku dari berbuat demikian. Senyum, tanpa isyarat ianya terukir sendiri.
Cuba mengendahkan apa yang aku rasa, aku bangun dengan lagak yang tenang. Cuba lindungi perubahan mendadak terhadap diri aku, aku pura-pura tidak mengenali siapa dia. Lantas bertindak buat bodoh berjalan tanpa bertegur sapa dengan dia. Itulah rialitinya, dia dan aku tak pernah diiktiraf sebagai rakan rasmi. Kami tak pernah berkenalan mengatakan nama masing-masing, bercerita tentang sedikit sebanyak hal diri masing-masing. Istilah pendeknya kami tak pernah bersuai kenal. Aku kenal dia kerana tertarik dengan perwatakan dia, dan rasa itu aku hadkan hanya sekadar minat tidak lebih daripada itu. Kami bercakap hanya kerana kebetulan, itupun dua kali. Dan aku tidak menganggapnya kami sudah menjadi kawan. Jadi, tidak ada sebab untuk aku menegurnya walaupun aku menanti kemunculan dia. Cukup aku melihat dia datang dan itu sudah amat mencukupi buat aku. Aku berjalan pergi meninggalkan dia tanpa rasa untuk beralih ke belakang memandang dia buat kali kedua. Fateh, gembira tengok awak datang…

*****

Hari berganti hari, SPM juga semakin menghampiri. Aku semakin sibuk membahagikan waktu untuk belajar dan siapkan setiap arahan Mak Ina. Layanan Mak Ina sememangnya tersangatlah dingin dan aku sudah siap mewakafkan diri aku untuk terima segala hentaman Mak Ina. Bagi aku sakit yang terasa sudah tiada apa-apa. Sudah lali bagi aku untuk menerima semua itu, pukulah! Pukulah aku semahu-mahunya! Jika itu buatkan mereka berpuas hati.
Hari ini, adalah kem terakhir anjuran PDCA, PERDA dan ZAKAT di X Resot, Kedah. Pecutan terakhir bagi subjek Sains, sekolah-sekolah yang terpilih dari seluruh Penang datang ke sini sebagai persiapan terakhir. Aku datang ke sini sebagai azam yang berkobar-kobar untuk menguasai segala ilmu yang diberikan. Doaku hanya satu, jangan jadikan dia sebagai penghalang dan peganggu perasaan aku di sini. selalunya perkara pertama yang aku lakukan, mataku pasti melilau-lilau mencari kelibat si dia. Tapi, untuk kali terakhir ini aku tegarkan diri untuk mengendahkan segala yang akan menganggu aku daripda hilang fokus dan niat asal. Hari berlalu sehinggalah hari terakhir, fokusku untuk belajar dan tidak mahu ambil tahu fasal dia terganggu dengan pertanyaan Anis.

“Ain, dah masuk hari last. Aku tak nampak pun dia?” Aku yang sedang mendengar pada ucapan penutup penceramah di depan tertegak telinga mendengarnya. Anis di sisi aku pandang.

“So, kau nak suruh aku buat apa?” Dengan selamba kodok aku menjawab. Rialiti hati bertanya, kenapa dia tak datang?

“Ish kau ni cakap macam tak ada apa-apa pulak!” Berdecit suara Anis menahan geram. Aku buat bodoh. Dah tu nak buat macam mana lagi.

“Memang tak ada apa-apa pun kan.” Laju mulut aku membalas. Anis aku lihat mencebikkan bibirnya, tak boleh terima jawapan aku.

“Eleh, mulut saja cakap macam tu. Hati cakap lain.” Dia hentam lagi. Atau sebenarnya nak korek sesuatu. Aku mengadap dia depan-depan.

“Anis.. kenapa kau suka sangat gandingkan aku dengan dia?” Mulalah dia tersenyum bunga-bunga penuh maksud tersirat.

“Aku tahulah aku tengok lain macam saja. Kau suka dia kan.” Tercekik aku dengan jawapan berani mati Anis.

“Ish kau ni. Ke situ pula. Aku kenal dia pun tak macam mana nak sukanya.” Aku pertahankan diri.

“Eleh, kau saja nak selindung. Aku tahulah aku tengok korang berdua dari dekat Bukit X lagi. Kau tahu tak aku perasan dia tengok kau, lama pulak tu. Kali kedua dekat Universiti Y, dia tengok kau. Aku rasa kau tengok dia balik tapi kau lebih banyak buat bodoh je.” Laju sahaja Anis tembak dengan bukti-bukti yang tersemat di hati. Aku diam sebentar. 

“Kau ni yaya saja. Dia tengok orang lain kot. Kalau dia tengok aku sekalipun aku boleh buat apa. Kahwin dengan dia?” Hamik ko! Nikah kahwin sekali aku masuk.

“Tak adalah sampai macam tu. Tapi aku rasa korang berdua ni macam ada chemistry. Aku rasa dia suka kau la.” Aku terdiam lagi. Chemistry?

“So, what? Biarlah dekat dia. Lagipun aku tak kenal dia Anis dan dia pun tak kenal siapa aku. Kalau sekadar suka siapapun boleh.” Lagi sekali kenyataan yang sama aku utarakan. Anis hanya diam mendengar jawapan penutup aku. 

*****

Seminggu setelah pulang dari kem, perubahan yang berlaku terhadap aku agak menjengkelkan. Dan aku tak suka! I hate it! Mahunya tak, tiba-tiba aku kena semak teringatkan budak cina tu dah kenapa? Arhhh, bila dah kena batang hidung sendiri macam ni serius aku cakap memang semak sangat! Huh! Dulu, aku pandang sinis sangat dengan orang yang fall in love ni. Hati aku dengan sombongnya berkata, kenapalah remaja sekarang mudah sangat jatuh cinta. Siap bergolek-golek lagi. Aku rasa suka saja kot dah memadai. Ini tak, sampai nangis-nangis bagai sebab orang yang belum tentu jadi milik dia. Lepas tu, pura-pura benci terhadap ‘si dia’ yang disukai sebab cuba nak hilangkan rasa di hati. Lagi sadis, kecewa bagai nak rak sebab ‘si dia’ ada orang lain. Itu baru orang yang cinta yang tak diketahui, tak masuk lagi yang couple macam dah sah suami isteri. Mama papa, baby la, bee honey la. Serius jujur dari hati agak menyampah aku di situ.

Tapi kini Allah hadirkan rasa ini dalam diri aku tanpa aku pinta. Bagi aku, sukakan seseorang bukan pada waktunya sudah di zon tersangatlah bahaya. Jadi, aku lebih suka jaga hati agar tidak melampau batas. Namun, kini aku menanggung ujian ini. Walaupun aku masih seorang remaja yang berumur setahun jagung, masih keliru apa itu cinta dan setia. Saat aku berdepan dengan situasi begini, aku tak tahu apa yang perlu aku lakukan. Sungguh.. aku buntu.

Semenjak Anis menyedarkan aku bahawa dia tidak hadir di kem tempoh hari, terasa sedikit terkilan kerana aku fikir sebelum pulang aku akan menatapnya dulu. Tapi, perancangan yang bercanggah daripada aturan Islam itu sudah awal-awal dilutupkan dengan ketidakhadiran dia. Dan sepulangnya aku ke rumah, aku sepertinya tidak dapat membezakan antara dunia dan realiti. Setiap apa yang aku lakukan semuanya ada dia. Sehinggakan setiap pukulan yang diberikan Mak Ina terhadapku tidak aku rasa sepertinya dia sedang melindungi aku. Tuhan, mengapa kau hadirkan dia di setiap hembusan nafasku. Sungguh, hamba-Mu ini takut sekiranya terpesong ke jalan yang tidak sepatutnya. 

Kini aku lebih banyak termenung, teringatkan dia. Setiap langkahku, teringatkan dia. Waktu lenaku teringatkan dia. Akibat dia yang sentiasa muncul di ruang fikiranku, aku mengalami masalah sukar untuk tidur. Sesungguhnya, aku tidak pernah mengalami perasaan begitu. Aku tak pandai nak mengawalnya.  Aku tak pandai mengurusnya, Tiada siapa pernah mengajarku apa itu cinta, dan bagaimana untuk uruskannya. Perasaan ini yang menguasai hidupku kini. Semuanya bagai tidak teratur sehingga mengundang pelik dari semua orang. Terutamanya mengundang bengang dari Mak Ina dan Aina. Semua serba tak kena, dan semuanya kerana dia. Arhh.,! Serabut! Aku menanggung sesuatu yang tak pernah aku alami selama ini. Lebih merisaukan diri aku sendiri, SPM bakal menjelang tidak kurang dari sebulan sahaja lagi. Aku sekarang diuji dengan perasaan ini.

Baru aku sedar perubahan yang aku alami bermula awal tahun sehinggalah sekarang ternyata telah membuahkan perasaan cinta yang dulunya aku begitu gah katakan aku tak akan mengalaminya sekiranya aku bijak mengawal perasaan aku. Tapi sekarang aku tewas, tewas dengan permainan perasaan. Apa yang aku paling takut andainya perasaan ini hanya berlandaskan nafsu semata bukan kerana perasaan suci yang lahir sebagai fitrah seorang insan. Ya Allah, adakah kau menghukumku kerana kafarah dosaku yang begitu meninggi diri menyatakan aku tak akan memiliki perasaan sebegini. Jika benar ya Allah, ampunkan aku. Ampun.. ampun..

Aku duduk di atas katil sambil mengangkat kedua kakiku. Mengambil masa untuk tenangkan diriku. Hidupku yang sebelum ini tidak terurus, seharusnya tidak aku biarkan perkara ini terus berlanjutan. Aku perlu lakukan sesuatu untuk menyingkirkannya. Jika tidak boleh disingkirkan sekurang-kurangnya cukup untukku boleh menumpukan perhatian buat peperiksaan dan paling penting aku dapat bezakan angan-angan dan rialiti. Apa yang tercurah buatkan aku meluahkan rasa kepada rakan baikku Anis. Dia yang selama ini menjadi tempias kemarahan aku akibat sikapnya yang begitu suka menjodoh-jodohkan aku dengan si dia, kini menjadi tempat aku meluahkan masalah aku. Anis sangat memahamiku, dia mendengar segala luahan aku. Cuba untuk tidak serius, aku mengatakan ini berlaku salahnya kerana sering mendoakan aku. Kan dah masin mulut dia, dan aku yang terkena. Dia hanya ketawa mendengar selorohku yang cuba mengawal gundah di hati. 

Anis menasihati aku agar kembali kepada siapa yang hadirkan perasaan ini buat aku. Saat mendengarkan itu aku baru tersedar. Allah yang hadirkan. Kerana ini fitrah sebagai manusia normal yang mengharapkan kasih sayang. Cuma terserah kepada manusia itu sendiri sama ada ingin memilih menggunakan kurniaan ini kepada jalan yang sepatutnya atau kearah berlandaskan nafsu semata. Sebagai seorang Islam, sudah tentu aku ingin lakukan sesuatu yang bukan menjerumus kepada maksiat dan murka Ilahi. Jadi, aku cuba rasionalkan fikiran aku. Satukan hatiku dengan kasih Ilahi. Dada aku pegang merasa degupan jantung yang begitu teratur dengan aturan Ilahi. Jadi akan aku gunakan kurniaan Ilahi ini mengikut aturan Ilahi. Ya, aku akan gunakan dia untuk mengingati tuhanku.
Bermula titik keazaman itu, aku mula menggunakan perasaan ini demi tuhanku. Aku tak akan siakan rasa suci ini, aku tak akan jerumuskan kurniaan suci ini dengan nafsu yang hanya membahayakan diri aku. Aku jadikan dia peneman kala aku sendiri. Dan aku jadikan dia penyebab untuk aku mengingati Allah. Setiap kali dia hadir di fikiranku, akan aku kembalikan kepada Rabbku dengan zikirullah. Sesungguhnya adanya dia buatkan aku semakin mengingati Tuhanku. Setiap sujudku aku doakan agar perasaan ini tidak bercanggah dari jalan-Nya. 

Walaupun usiaku hanya remaja biasa yang mentah dengan aturan hidup. Tidak kenal lagi cinta dan setia. Tapi, tulus hati aku inginkan dia menjadi jodohku, menjadi yang halal buat aku. Biarkan aku menyimpan perasaan ini, walaupun tiada siapa yang tahu hatta dia empunya diri sekalipun. Sesungguhnya takdir Allah tiada siapa yang tahu. Sekiranya benar perasaan ini fitrah suci dari Ilahi, aku hanya ingin dia menjadi pelingdungku suatu hari nanti. Jika Allah izinkan, aku hanya inginkan dia menjadi pendampingku di syurga sana. Walaupun aku tahu jodoh dan mati itu sudah Allah aturkan di Luh Mahfuz, tapi aku hadirkan namanya dalam doaku. Aku seru namanya agar jadikan namanya sebagai jodohku yang telah tertulis di Luh Mahfuz. Pintaku hanya ini, agar Allah perkenankan doaku yang satu ini. Siapkan dia sebagai sebaik-baik jodoh buatku. Siapkan dia sebagai pelindung, pemimpinku di dunia ini dan sebagai pendampingku di syurga sana. Seruku hanya satu, Tuhan.. jadikan dia jodohku.

*****

Hari ini hari pertama aku menghadapi peperiksaan SPM, 3 November 2014. Gementar yang aku rasa aku hadirkan dengan ungkapan zikir. Setelah dua tahun bertungkus-lumus untuk hari ini, aku sudah bersedia menghadapinya. Sementara menunggu untuk dipanggil masuk ke dewan, aku lebih banyak sendirian sambil perbanyakkan selawat buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan zikir buat Ilahi. Sekarang bukan waktunya lagi untuk aku memegang buku. Semuanya sepatutnya aku lakukan hari-hari yang lepas. Jadi tiada masa lagi untuk menghafaz apa-apa. Kerana hari ini aku sudah perlu berperang, bukan baru mengasah pedang yang masih tumpul.
Dalam sendirian aku mula teringatkan si dia. Si dia yang tak pernah tahu perasaan yang hadir dalam diri aku. Maaf kerana menyimpan perasaan ini, tapi aku tidak mampu menolaknya kerana aku insan biasa. Aku tidak meminta dia membalas rasaku. Cukup aku tahu dia ada di dunia ini. Jika benar dia takdirku untuk disatukan suatu hari nanti, tiada yang mustahil ketentuan Ilahi. Hari ini juga dia bakal berperang bersamaku. Hanya medan kami berbeza tempatnya. Apa yang aku inginkan hanya mendoakan buat si dia agar dipermudahkan segala urusan.
Rabbi, Kau berikan ketenangan dan kesabaran buat dia. Jangan Kau biarkan sesuatu menganggunya sehingga menghalang kemudahan bagi dia untuk menduduki peperiksaan ini. Mudah-mudahan senang baginya menduduki setiap subjek SPM yang diambilnya. Amin…

Sekarang sudah waktunya untuk aku masuk ke dalam dewan meneruskan perjuangan aku. Rabbi yassir wala tuassir, rabbi tammim bikhair. Rabbi syrahli sadri wayassirli amri wahlul uqdatam millisani yafqahu qauli. Ya Allah permudahkanlah jangan Kau susahkan. Aku teguhkan hati hanya pada yang satu. Aku telah berusaha, aku sentiasa berdoa dan kini aku hanya bertawakal berserah pada Yang Satu untuk menentukan apa yang baik untukku. Perjuanganku dari mula sehingga berakhirnya ia hanya Allah yang tahu apa keputusannya. Segalanya akan aku nantikan tahun hadapan, penentu arah tujuku hidupku. Allah sahaja yang tahu. Begitu juga antara aku dan dia, hanya Allah yang tahu. Aku hanya mampu berdoa sekiranya diizinkan Ilahi. Sebagai peneman dan pemimpin bangun jatuhku di dunia dan sebagai pendampingku di syurga sana. Tuhan, jadikan dia jodohku…

***
Erkk.. ingatkan boleh habiskan sampai happy ending.. nampaknya kena buat satu lagi bab agaknya. Insya-Allah.. saya akan buat bab akan datang sabagai bab yang terakhir. Apa jadi? Nantikan kisahnya di Tuhan jadikan Dia Jodohku III… 




Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Puisi: Lebah dan Semut

Review Novel - Maia, Tiada Rahsia Tersembunyi

Ye Fei Ye