Cerpen Tuhan Jadikan DIa Jodohku III (Ending)

Hari ini hari pertama aku menjejakkan kaki di UIA, Gombak. Universiti yang selama ini aku impikan untuk menyambung cita-citaku ke menara gading, kini telah tercapai dengan izin Yang Maha Kuasa. Pasti semuanya tertanya-tanya bagaimana aku boleh terlepas dari keizinan Mak Ina. Kalau tanya aku, aku pun tak tahu kenapa? Tapi, semuanya disebabkan jasa baik seorang insan yang memaksa Mak Ina untuk benarkan aku ke sini. 

Aku antara pelajar sekolah yang paling lambat mengambil keputusan SPM di sekolah, semuanya kerana Mak Ina. Setelah aku bebas daripada urusan alam persekolahan, Mak Ina menggunakan aku dengan semahu-mahunya. Setiap hari ada sahaja yang disuruhnya. Kadang-kadang dia bawa aku semata-mata untuk jadi pembantu angkut barang buatnya. Sepanjang tahun ini, Mak Ina bawa aku ke KL untuk uruskan kerjanya yang aku tak pernah tahu. Mak Ina sibuk dengan kerjanya, jadi Aina ambil kesempatan untuk jadikan aku balaci dia. Minggu lepas baru pulang ke Penang, jadi kelapangan yang ada aku gunakan untuk mengambil keputusan ku di sekolah. Alhamdulillah, slip keputusanku tercapai seperti yang aku harapkan. Setelah pulang daripada mengambil keputusan SPMku, aku melihat sebiji kereta mewah terparking elok di halaman rumah. Kiraku mungkin kenalan Mak Ina barangkali.

Menjejakkan sahaja kaki ke dalam rumah, aku dikerahkan terus ke dapur menyiapkan apa yang patut untuk dihidangkan kepada tetamu yang hadir. Saat aku terpandangkan lelaki yang sedang duduk berdepan dengan Mak Ina itu, terlintas di fikiranku memori lalu. Macam kenal. Tapi, mungkin salah orang kot. Dia kelihatan bergaya dengan sut berkotnya, dengan penuh protokol dia berbual-bual dengan Mak Ina. Mereka kelihatan sibuk sekali dengan berkeping-keping kertas dibincangkan. Sambil membancuh air teh, sambil juga menjeling Mak Ina dan lelaki itu di ruang tamu yang boleh dilihat dari ruang kaunter, dindingnya hanya memisahkan ruang tamu dengan dapur, aku cuba mengagak ukiran wajah lelaki itu ada iras-iras dengan insan yang pernah menyelamatkan aku dulu. Hurmm.. sama ke?

Usai menghantar minuman aku kembali ke dapur. Aku bersandar pada dinding pemisah untuk mendengarkan perbualan mereka. Kalau ikutkan ini bukan sikapku mencuri dengar perbualan orang lain, tetapi apabila berkali-kali namaku disebut menjadi topik perbualan hangat mereka aku tertarik mendengar mereka. Jika tak silap aku Mak Ina memanggil lelaki itu Encik Hamid dan tak silap aku juga peguam ayah yang sering disebut-sebut ayah namanya Hamid juga. Mungkin Encik Hamid ini peguam ayah kot, dan apabila sesuatu melibatkan peguam dan Mak Ina susah tentulah ianya melibatkan wasiat. Aku hanya mampu menggumam perlahan, tak habis lagi dengan hal wasiat. Memang Mak Ina dah tak sabar nak tendang aku keluar dari sini kot. Hurmm…

“Tapi kali ini Puan Azlina kena benarkan juga Cik Ain melanjutkan pelajaran di mana-mana universiti yang dia mahukan sekiranya layak. Berdasarkan keputusan SPM dia yang dikategorikan sebagai cemerlang, Cik Ain layak untuk melanjutkan pelajarannya.” Kata-kata Encik Hamid yang agak tegas di situ membuatkan telingaku tegak mendengarnya. Benarkah?

“Kenapa Encik Hamid tak pernah maklumkan pada saya sebelum ini. Saya dah ada perancangan lain untuk dia.” Mak Ina sepertinya tidak dapat menerima dengan kenyataan yang diberikan Encik Hamid. Aku agak terkilan medengarkan itu.

“Bukan saya tak pernah beritahu. Setahu saya, saya sudah sisipkan syarat-syarat yang perlu Puan Azlina laksanakan terhadap Cik Ain selain menjaga makan minumnya sebelum Cik Ain berumur 22 tahun. Ini salah satu syarat untuk Puan Azlina mendapat bahagian puan sebagai salah satu pewaris pusaka. Puan Azlina juga sudah menandatangani surat pusaka Encik Zaidi setelah kematian beliau.” Ceh, sinis pula aku rasa. Aku yang jaga makan minum dia ka, atau dia yang jaga makan minum aku? Aku pekakan telinga lagi.

“Apa jadi sekiranya saya langgar syarat ini?” Dengan bongkak Mak Ina bertanya seperti tak boleh menerima syarat tersebut. Encik Hamid kelihatan mengeluarkan dokumen lain lalu ditunjukan kepada Mak Ina.

“Seperti yang telah puan lihat, ini syaratnya. Lebih senang saya simpulkan puan akan terkeluar daripada salah seorang pewaris harta Encik Zaidi dengan serta-merta.” Dengan penuh sinis Encik Hamid berkata sepertinya dia turut menyampah dengan kecerewetan Mak Ina. Akhirnya Mak Ina menyerah daripada terus mempertahankan apa yang dikehendaki. Dan aku sebagai seorang yang mempunyai impian tersangatlah bersyukur dengan kenyataan aku boleh terlepas daripada derita ciptaan mereka ini. Dengan perasaan gembira yang tidak mampu aku gambarkan bagaimana rasanya, aku menapak keluar di sebalik dinding memerhatikan gelagat dua manusia yang seorangnya dengan muka mencuka membaca dokumen-dokumen yang diberikan yang seorang lagi diam tidak terkutik hanya memandang gelagat Mak Ina. Encik Hamid sepertinya menyedari kehadiranku dari jarak yang sederhana jauh itu, memandang ke arahku. Aku meletakkan tanganku di dada sebelum menunduk tanda ucapan terima kasih bersama senyuman kegembiraan terukir di bibir. Dia sepertinya memahami dan senang dengan ucapanku membalasnya dengan gaya yang sama. 

Dan keputusannya aku di sini, terpilih salah seorang mahasiswa di universiti terkenal ini. Tapi, aku fikirkan duniaku kini dengan zaman persekolah tidak akan berkait lagi. Sudah tentu aku maksudkan disini antara aku dengan Muhammad Fateh yang sehingga kini doaku masih menyeru namanya sebagai jodohku. Aku fikirkan biarlah dia dengan haluannya yang dipilih, biarlah aku tak pernah berjumpa dia lagi. Sekiranya benar dia dijodohkan untukku, biarlah bertahun-tahun kami tak pernah bertemu Allah pasti satukan kami juga. Jadi aku hanya titipnya namanya dalam doaku, selebihnya aku serahkan kepada Rabbku sebaik-sebaik perancang semesta ini. 

Namun, takdir tiada siapa yang tahu. Kini aku sedang berdiri berhadapan dengan dia yang lebih setahun aku tidak berjumpa. Dalam haluan untukku ke dewan kuliah, langkahku ditahan oleh tubuhnya yang tinggi lampai menghalang laluanku. Aku melangut memandang gerangan yang begitu berani berbuat demikian. Dan pandangan aku terkaku saat terpandangkan wajahnya, dia kelihatan sangat matang dengan kemeja dan seluar slack hitam. Dunia maya dan realitiku terpisah kerana dia, dunia mayaku kini sepertinya hanya aku dan dia. Tidak mampu menipu perasaan sendiri, denyutan jantung dan hati yang berubah rentak membuatkan aku mula dikuasai gementar dan gemuruh. Tidak bersedia dengan tindakan reflek tersebut, buku yang aku pegang jatuh semuanya ke bawah lantas kembalikan aku ke dunia nyata.

Laju sahaja aku mengutip buku-buku yang berselerakan di jalan. Dengan tangan yang bergetar aku kutip satu persatu sambil sedaya upaya melindungi perasaanku ini. Ya Allah, jangan Kau ujiku di saat begini. Sesungguhnya, berdepan dengan dia dalam keadaan begini merisaukan aku sekiranya aku tidak mampu mengawal perasaanku. Dia membantu aku mengutip buku-buku yang berselerak dan selesainya kerja tersebut kami sama-sama berdiri. Dia menghulurkan bukuku dan aku menyambut. Jika dia perasaan jelas ketara tanganku yang terketar-ketar. Pelik kan? Tapi inilah aku akibat daripada perubah rentak jantungku.

“I know you’ll be here. Nice to meet you.” Bersama senyuman tenangnya, dia berkata. Aku hanya kaku tidak tahu untuk berkata apa.

“Ain?” Dia panggil apabila tiada riaksi daripadaku. Aku yang menunduk perlahan memanggung kepala apabila dia memanggil namaku.

“Kenapa awak nampak nervous sangat ni?” Dia ketawa kecil. 

“Bye!” Tanpa syarat aku pergi meninggalkan dia. Dan melihatkan pemergianku tanpa syarat itu dia memanggil namaku berulang kali dan akhirnya kedengaran ketawanya yang mungkin lucu dengan lakuku dihujungnya. Aku melajukan langkahku tanpa tujuan. Lari segala niat asal destinasiku pagi ini kerana dia. Gila punya orang! Jangan muncul mengejut macam tu boleh tak? Nasib baik tak meletup jantung aku sebab kau! Bodoh! Tak fasal-fasal bertan-tan aku maki kau. 

“Bye Ain! See you then.” Dari jauh dia menjerit namaku. Warrr,, sudah tak betulkah dia menjerit sebegitu di tempat awam. Dengan muka tebal berlapis-lapis aku buat bodoh dengannya lantas kembali merasionalkan azamku hari ini. Jangan hanya lelaki yang belum tentu jadi milikku aku terpesong menjadi manusia yang tidak punya tujuan hidup. Perjalanku masih jauh, dan bukan dia matlamat utamaku. Maaf Fateh, walaupun kau menjadi segaris nama dalam doaku. Walaupun berjumpa kau di sini merupakan sesuatu yang gembira buatku. Tetapi, kau bukan tujuan utama di sini. Sekiranya Allah kabulkan doa-doa aku. Kita akan bersatu juga. Jika kau ada rasa seperti yang aku rasakan, doalah agar ianya tidak membawa ke jalan yang tidak diredhai Ilahi. Doalah agar kita disatukan nanti.

*****

Hari-hariku berlalu seperti biasa. Cuma ditambah sedikit perasa oleh ragam rakan-rakan baruku di UIA. Tidak lupa juga buat Anis yang turut meneruskan pengajiannya di sini. Tetapi sayangnya, aku dengan Anis agak sukar untuk bertemu kerana dia di fakuliti yang lain dalam jurusan Usuluddin dan aku lebih kepada jurusan Multimedia dan Pengajian Islam. Tidak lupa juga kepada si dia yang turut menceburi jurusan Multimedia dan Perniagaan. Kerana itu, jadual kelas menyebabkan kami perlu sering bertemu. Ternyata Allah menguji keikhlasan hati aku menjaga kurniaan ini.

Aku mengaku dalam berurusan dengan dia membuatkan aku keliru untuk membezakan antara hak dan batil. Tapi aku teguhkan ia dengan kembali mengingati Allah. Adanya dia kerana Allah, hadirnya perasaan ini kerana Allah dan hanya kembali kepada aku untuk menjaganya. Belajar daripada pengalaman, aku bertindak professional dalam berurusan dengannya. Belajar dalam jurusan yang sama membuatkan aku dan dia perlu berbicara, berbincang dan sebagainya. Sesungguhnya ujian ini kadang-kadang membuatku aku terleka. Ditambah pula sikapnya yang terlalu mesra setiap kali bertemu dengan aku. Hanya aku menjadikan dia tak pernah wujud dalam hidup ini. Kerana aku ingin menjaga kesucian hati ini daripada tercemar dengan batas-batas yang bukan berlandaskan syariah.
Aku mengaku hadirnya dia buatkan aku sedikit ceria kerana kerenahnya. Dia begitu mesra dengan sesiapa sahaja yang dikenali. Dia bersikap terbuka dengan semua orang. Dia tidak pernah marahkan sesiapa yang membuat kesalahan. Dia seorang yang tenang dan ceria. Dia terlalu banyak ilmu ingin dikongsikan dengan sesiapa sahaja. Kerana sikapnya yang begitu aktif dan mesra alam membuatkan dia mulai terkenal di UIA. 

Dua tahun berlalu, dia masih dengan gayanya. Namun, semakin lama mengenali dia semakin rasa itu menguasai diriku. Sesungguhnya aku benar-benar menyintainya kerana Tuhanku. Dalam menyusuri hari-hariku aku semakin matang menguruskan hidupku. Walaupun dia dihadirkan mewarnai hari-hari aku, tapi dia banyak mengajarku erti kehidupan. Walaupun aku boleh memilih untuk meluahkan rasa di hati, tapi aku kembalikan ianya kepada Tuhanku. Itu bukan urusanku. Seawal mengenalinya, aku seperti merasakan dia lebih mengenali siapa aku berbanding diriku sendiri. Di kala duka aku sendirian, dia pasti muncul menceriakan hati yang berduka. Tapi, kecapan nikmat itu sentiasa aku kembalikan kepada Allah. Dia bukan milikku untuk mengadu setiap yang aku rasakan. Biarpun aku boleh jadikan dia sebagai teman akrabku, tapi rialitinya dia lelaki dan aku perempuan. Boleh jadi kerana terlalu leka dengan keasyikan dunia kami Allah mengubah hati kami daripada jalan orang yang diredhai-Nya. Memikirkan impak yang mungkin di luar pemikiranku, aku memilih untuk menjauh.

“Fateh..” Aku memanggilnya saat aku dan rakan-rakanku melakukan kumpulan bagi berbincang mengenai assignment kami. Dia memanggung kepala saat mendengar panggilanku.

“Apa?” Dia bertanya.
“Boleh saya minta sesuatu.”

“Okey. Bergantung pada permintaan.”

“Boleh awak layan saya seperti awak layan orang lain?” Dia diam seketika seperti berfikir.
“Apa maksud awak. Saya layan awak sama saja macam orang lain kan.”

“Ye sama. Sama macam awak layan rakan-rakan LELAKI awak. Tersangat mesra, bertimbang rasa dan memahami. Tapi layanan awak kepada rakan-rakan PEREMPUAN yang lain tak seperti awak melayani saya.” Aku cuba fahamkan dia apa yang ingin aku sampaikan. Perkataan LELAKI dan PEREMPUAN sengaja aku tekankan agar dia dapat bezakan siapa aku. Aku merupakan hawa yang begitu lembut pada hati dan perasaan. Jangan biarkan apa yang aku rasa tidak mampu lagi aku menanggungnya. Sesungguhnya kala ini bukan waktunya untuk jadikan perasaan sebagai matlamat. Jika percaya dengan kuasa Allah, dia milikku. Maka dia milikku.

“Kenapa?” Dia bertanya pelik.

“Sebab awak tak kenal saya dan saya tak kenal awak.” Kenyataan itu aku ulang lagi. Dia menjongkit kening kemudian tersenyum.

“Siapa cakap saya tak kenal awak. Malah saya ada semua maklumat fasal diri awak lengkap dalam ni.” Dia mengeluarkan sekeping kertas maklumat tentang diriku yang lengkap sekali gambar passportku dari failnya. Terjegil mata aku melihatanya. Mana dia cekau aku punya resume ni? Ni pasti dia curi-curi ambil time aku isi borang nak join Kelab Bahas. Apabila aku ingin merampasnya segera dilarikan dia sambil ketawa mengejek. Aku mengeluh sambil tersenyum kelat. Tak guna betul.

“Even awak ada maklumat lengkap pasal diri saya tetap awak tak kenal siapa diri saya.” Aku menembaknya dengan kenyataan itu. Dia merenung aku seketika. 

“Apa yang cuba awak sampaikan kepada saya?” 

“Tak ada apa. Hanya saya lebih suka awak melayan saya seperti mana awak melayani rakan-rakan saya yang lain. Berurusan apabila perlu, jangan call saya tanpa sebab, jangan ajak saya keluar walaupun awak minta orang lain tolong temankan. Walaupun berkali-kali saya tolak tapi awak sentiasa melakukan itu tanpa rasa bosan buatkan saya tertanya-tanya awak tak penat ke? Awak selalu belanja saya makan, carikan bahan assignment untuk saya dan segalanya awak dahulukan saya daripada orang lain. Awak buat saya macam awak sangat-sangat mengenali saya. Tapi saya tak pernah kenal siapa awak. Dua tahun belum cukup untuk saya betul-betul kenal siapa awak. Tapi, rialitinya macam mana baik layanan awak terhadap saya tetap awak tak kenal siapa saya. Dan saya tak nak awak kenali saya. Dua tahun awak melayan saya macam ni saya rasa sudah terlalu cukup. Saya rasa lebih pula buatkan saya kurang senang dengan pandangan rakan-rakan dan saya rasa segan dengan awak. Jadi, boleh awak layan saya macam orang lain? Boleh kan?” Usai berkata panjang lebar dia yang tenang, dia yang diam dengan gayanya, dia yang tekun mendengar kata-kataku, dia yang tak pernah mencelah dan membantah kata-kataku aku pandang. Terukir senyuman kecil di bibirnya seperti memahami kehendakku.

“Saya menjalankan tugas saya kerana amanah orang. Biarpun awak tidak kenal saya. Biarpun awak menyatakan saya tak kenal awak, tapi kenyataanya saya sangat mengenali awak. Tapi, bagi menghormati permintaan awak. As you wish, I will fill your favour.” Dia memberi kata putus dan aku senang.

Saat itulah aku memilih untuk tidak terlalu bergaul dengannya walaupun berteman sekalipun. Nyata dia lebih memahami bahasa tubuhku dan kata-kataku, dia penuhi kehendakku. Kami melakukan haluan masing-masing. Dia dengan urusannya dan aku dengan urusanku. Kami hanya berurusan apabila perlu sahaja. Apabila kami berselisih atau bertemu masing-masing hanya melemparkan senyuman. Aku tebih terpesona dengan lagaknya sekiranya dia tidak terlalu berada dekat denganku. Fateh, aku nak sangat kau jadi jodoh aku. Adakah Allah akan perkenankan?

*****

Aku kembali ke UIA untuk meneruskan sem seterusnya bagi tahun yang ke tiga. Gundah-gulana perasaan aku semenjak bertolak pergi dari rumah banglo milik kami sekeluarga. Kini aku sendirian di kawasan taman rekreasi merenung nasib diri. Sudah kujangkakan kebebasan yang aku harapkan tak akan pernah aku dapat miliki. Aku memandang pada jari manisku yang dihiasi dengan cincin belah rotan. Simple tapi disebalik tanda itu sudah terlalu berat bagiku.

Kufikirkan kepulanganku cuti sem tempoh hari akan dihabisi seperti hari-hari lain. Melayani kerenah Mak Ina yang semakin menjadi-jadi. Aina pula semakin liar perwatakannya, kadang-kadang lewat malam baru pulang ke rumah dalam keadaan mabuk. Aku hanya mampu beristighfar dengan sikapnya itu dan sabar memandi dan menguruskannya sebelum masuk tidur. Kerana aku tahu sekiranya Mak Ina tahu perbuatan Aina pasti teruk Si Putri itu dikerjakan. Itu tidak menjadi masalah kepadaku, tapi sekiranya dia dikerjakan Mak Ina aku pula yang menjadi mangsa Aina untuk dilepaskan segala geram yang terbuku. 

Minggu terakhir aku habiskan cuti-cuti seperti biasa tidak kuduga akan berubah dengan riuh Mak Ina memaksa aku menunaikan permintaannya. Walaupun aku sudah berani berkeras untuk tidak menurut kehendaknya, walaupun aku rela tubuh aku dipukul dan dihentam olehnya aku rela asalkan masa depanku tidak diatur oleh manusia lain! Namun, usahaku hanya sia-sia. Tiada siapa yang dapat membela nasibku apabila Aina dengan beraninya mengugut aku dengan menggunakan senjata tajam. Malah, dia mengugut berani untuk mencederakan Mak Ina sekiranya aku tidak mengikut cakap mereka. Sekiranya melibatkan nyawa orang lain walaupun sejahat mana sekalipun orang itu, aku hanya insan biasa yang tidak bisa membiarkan ianya berlaku.

Pertunangan yang dirancang Mak Ina akhirnya terlaksana tanpa kerelaan aku. Baru aku sedar, rupanya aku disatukan dengan lelaki itu kerana dia satu-satunya pewaris orang paling kaya di kampung sebelah. Harta lagi yang menjadi penyebabnya. Tidak cukupkah apa yang bakal mereka rebut daripada aku nanti. Untuk apa harta yang melimpah ruah untuk kesenangan dunia sedangkan di Negara akhirat belum tentu penjaminnya. Semalaman aku menangis meratap nasibku. Kenapa tidak Aina sahaja yang dikahwinkan? Kenapa mesti aku? Lelaki yang ditunangkan denganku bukan aku tidak kenal, Roslan budak kampung sebelah. Budak liar dan samseng tak ada hala tujuan. Berkali-kali juga aku melihat dia dengan Aina pulang seiring dalam keadaan mabuk. Lantas inikah lelaki yang tidak punya akhlak dan pendirian hidup ingin disatukan dalam hidup aku? Ya Allah, besarkah dosaku sehingga Kau mengujiku seperti ini? 

Aku memandang kosong pada alam yang terbentang luas di hadapanku. Hatiku kosong tidak tahu untuk berbuat apa. Mataku kelabu dilitupi air mata yang bila-bila masa akan mengalir. Rasa marah, kecewa, sedih, semuanya membuak-buak. Hujung kerusi batu aku genggam sekuat-kuatnya implikasi daripada rasa amarahku. Tuhan.. aku tak kuat untuk kali ini. Sungguh, aku tersangat lemah berdepan dengan ujian ini. Apa yang perlu aku lakukan ya Allah. Aku tidak diberi pilihan menentukan hidupku ya Allah. Apakah aku hanya ditakdirkan untuk redha dengan ketentuan yang telah tersurat buatku? Apakah hikmah yang Kau ingin tunjukan kepadaku disebalik segala pengorbanan yang telah aku lakukan? Ya Rabbi, Ya Latif, Ya Rashid, Ya Hayyu Ya Qayyum… aku penat dengan dunia ini. Tersangat penat dengan sikap manusia yang tersangat obseskan kepentingan dan kesenangan sendiri. Penat sangat…

“Ain?” Suara dia yang sangat ku kenali menyeru namaku. Aku tidak menyahutnya. Hanya membiarkan ianya berlalu. Kedengaran derapan langkahnya menghampiri. Mujur ramai di sini, ku mohon tiada fitnah yang timbul diantara kami.

“Ain…” Dia memanggil lagi. Terasa seperti dia berdiri pada tepi kerusi batu yang aku duduki. Pandanganku hanya kosong memandang ke depan.

“Ain pandang saya.” Dia panggil dengan nada yang agak keras suaranya membuatkan aku teringat dia yang membuatkan hatiku tenang di pantai empat tahun yang lalu. Adakah untuk kali ini dia akan berbuat demikian untuk berikan kelegaan buatku? Tapi panggilannya tetap aku endahkan.

“Awak ada masalah?” Dia bertanya penuh perhatian menjentik kalbuku. Sebak yang tertahan mula menguasai diriku. Perlahan air jernih turun membasahi pipiku. Tolong Fateh, bukan awak yang saya perlukan sekarang ini. Siapapun awak, bagaimanapun awak tolong saya, takdir saya tiada siapa yang mampu mengubahnya. Jadi, tolong tinggalkan saya sendirian.

“Tangan dan muka lebam kenapa? Mak awak pukul awak lagi?” Terpana dengan pertanyaan dia. Bagaimana dia tahu penyebab pada kesan lebam tangan dan wajahku? Aku tertarik untuk bertanyakan padanya. Tapi ego menguasai diri membuatkan mulutku terkunci lantas pertanyaan itu hanya bergema di hati. Aku masih bisu tanpa suara dengan deraian air mata membasahi pipi.

“Saya dengar awak dah tunang. Kenapa awak tak beritahu saya?” Kali ini aku benar-benar terpana mendengar persoalannya itu. Spontan aku memandangnya dengan wajah sembap. Dia kelihatan tersenyum kelat sambil memasukkan tangannya ke dalam poket. Perlahan-lahan aku bangun dari dudukku berdepan dengannya. Mata yang kabur dek air mata aku kesat dengan tanganku.

“Macam mana awak tahu?” Aku bertanya inginkan kepastian. Dalam hati berdebar bagai mahu meletup. Sesungguhnya, antara orang yang paling ingin aku hindari daripada mendengar berita ini adalah dia. Aku tidak pernah beritahu siapa-siapa akan hal ini hatta Anis sekalipun. Tapi dia, tanpa bicara sepatah dariku dia sudah mengetahui letak duduk statusku kini.

“I told you before. I know you better. Saya sangat mengenali awak. Hanya awak sahaj ayang tak tahu siapa saya.” Segaris ayat itu membuatkan aku bertambah sebak. Tercebik-cebik bibirku menahan tangis yang bila-bila masa akan berderai. Boleh sahaja aku meraung tanpa boleh kawal diri aku sendiri. Tuhan.. kenapa dia? Adakah ini caranya, petanda dari-Mu bahawa dia bukan jodohku yang begitu aku harapkan. Benarkah? Aku cuba menidakkan kenyataanku itu. Mulutku tutup cuba mengawal suaraku yang mula dikuasai tangisan. 

“Menangislah kalau awak nak. Saya tak kisah.” Kata-katanya itu membuatkan aku bertambah sebak. Aku kembali terduduk, wajahku aku tutup dengan telapak tanganku. Tangisanku laju mengalir tanpa suara. Dia menghulurkan sapu tangannya kepadaku. Aku memandangnya dan hulurannya sekilas. Masih sapu tangan itu, sapu tangan kecil yang berwarna biru. Aku membiarkan hulurannya tidak bersambut.

“Awak jangan paksa saya buat macam mana saya buat dekat awak dulu.” Hish dia ni! Jangan nak paksa-paksa boleh tak. Aku tak nak! Tak nak la. Tadi kasi green light sangat suruh aku nangis, sekarang paksa aku ambil sapu tangan dia pula. Otak seminit! Aku mulalah nak label macam-macam dekat dia ni. Tapi, rialitinya aku ingin dia pergi. Aku ingin sendiri, aku tak nak sesiapa duduk dengan aku walaupun dia menawarkan diri. Aku mahu sendiri Fateh. Tolonglah faham.

Lama aku mendiamkan diri membiarkan tangisan membasahi pipiku. Dia berjalan berdepan denganku, dalam keadaan bertinggung di melangut memandangku. Tanpa aku jangka tindakan beraninya cuba mengelap air mataku dengan sapu tangannya membuat aku terpaku. Tidak bertunggu lama aku merampasnya kasar lantas segera berdiri. Dia turut berdiri berdepan dengan aku.

“Boleh tak awak faham saya. Bila saya diam maksudnya saya memilih untuk tidak menjawab. Bila saya diam maksudnya saya nak bersendirian. Jadi, tolonglah tinggalkan saya seorang diri! Jangan ganggu saya. Tolonglah pergi! Pergi dari hidup saya! Saya tak kenal awak! Jadi pergi!” Dalam nada amarah bercampur sedih aku lepaskan padanya. Dia hanya kaku berdiri mendengar amarahku. Teresak-esak aku menangis tidak mampu dikawal lagi. Beg sandang yang diletakkan di atas kerusi aku rembat kasar lalu berjalan pergi meninggalkan dia. Maaf Fateh, cukup sampai di sini kau tahu mengenai aku. Aku tak mahu berikan harapan lagi buat diri aku. Cukuplah cerita kita berakhir di sini. Aku doakan kau bahagia dan aku akan berusaha untuk sentiasa bersangka baik dengan Penentu Alam ini, agar aku redha dengan segala yang diatur-Nya.

---Sahabat, di saat Allah mampu menjadikan planet-planet bergerak serentak mengikut paksinya, saat air sungai dengan patuh mengalir mengikut suruhan Ilahi, di saat siang dan malam tak pernah terlupa untuk ikuti aturannya. Semuanya bukti bahawa Yang Satu itu sebaik-baik perancang. Jadi, janganlah berputus harapan kerana ujian yang begitu sedikit diberikan oleh Sang Pencipta. Hitung nikmat yang telah Dia berikan buat kita.

Mungkin agak lucu dengan kenyataan ‘nikmat’ yang saya coretkan. Kerana hidup awak tak pernah mengecapi nikmat kebahagiaan seperti insan-insan lain. Tapi, syukurlah awak insan terpilih. Jangan awak biarkan kesulitan dan penderitaan yang awak alami membuatkan awak berputus asa dengan rahmat Yang Esa. Awak patutnya gembira Allah memilih awak menyusuri kesusahan hidup ini. Sekiranya saya diberi pilihan, awal-awal lagi saya menolaknya kerana saya tahu saya tak mampu. Tapi ingatlah, saat kita memikirkan kita yang paling malang berdepan dengan ujian Tuhan di luar sana lebih ramai yang hidupnya lebih malang daripada hidup kita.

Bangkitlah Ain, jangan awak seksa diri awak dengan sikap murung awak hanya kerana apa yang telah tersurat buat awak. Sia-sia awak habiskan 3 tahun tapi terhenti separuh jalan kerana ujian yang mendatang. Datanglah ke kuliah supaya awak tak tenggelam dengan emosi putus asa, berbicaralah dengan rakan sekurang-kurangnya beban awak dapat dikurangkan, datanglah usrah seperti selalu, disini awak ada ramai naqibah yang siap bantu awak untuk bangun. Sedarlah, tiada sebab Allah tentukan sesuatu melainkan ada hikmahnya. 

Buktikan kepada mak dan kakak tiri awak yang awak boleh hidup biarpun ditindas mereka. Tunjukan pada mereka yang awak kuat! Awak tabah. Jika awak bersikap begini awak berikan kemenangan kepada mereka sebelum waktunya. Apa yang saya harap, awak bangunlah. Berhenti berserah pada takdir tanpa berusaha. Awak perlu pertahankan hak awak, jangan biarkan orang lain menindas kebebasan awak. Cukuplah berkorban demi orang lain. Berkorban sememangnya bagus. Tetapi sehingga menindas diri sendiri, itu sudah melampaui batas. Perubahan nasib awak ada pada awak, meminta sahaja tak cukup melainkan awak sendiri yang bertindak. Jangan menyerah sebelum perjuangan sebenar belum bermula. Bangkitlah mutiara duniawi, jadikan dirimu semulia bidadari, biar derita peneman diri, tapi Tuhan permilik hati. Jadi, kuatlah Ain. Saya ada untuk awak. Dan Allah sentiasa ada untuk awak.
Fateh---

Aku melipat lipatan surat yang aku terima daripada dia. Ternyata keadaanku sentiasa mendapat laporan daripada rakan-rakanku buatnya. Aku merenung ke luar jendela, memikirkan dia. Kenapa Fateh? Kenapa kau masih nak tolong aku? Kenapa Fateh? Kau tahu tak sikap kau ni buatkan aku bertambah susah nak lupakan kau. Aku cuba nak terima takdir aku. Aku cuba nak terapi diri aku dengan bersendirian. Tapi warkah ini buatkan hatiku kambali berdetak kerana kau! Aku mengusutkan rambutku yang mengurai lantas meletakkan kepalaku di atas meja. Serabut!
Warkahnya kembaliku buka dan kubaca. Cuba memahami setiap pesanan yang dicoretnya, aku membacanya word by word.  Terasa sayu hatiku apabila memahaminya. Dia sangat memahami aku. Dia sememangnya tersangat mengenali siapa aku. Siapa kau sebenarnya Fateh? Kenapa kau tahu segala-galanya tentang diri aku? Apa maksud kau awak sedang memegang amanah?  Siapa kau? 

Aku istighfar berulang kali. Syaitan bersorak melihat orang yang berputus asa dengan rahmat Tuhan. Allah hanya menguji kau sekecil pasir di pantai kau sudah jatuh. Lantas bagaimana untuk kau perjuangkan agamanya. Redhalah dengan ketentuan Ilahi, Ain. Berpeganglah pada janji Allah. Allah tidak akan menguji hamba-Nya sekiranya hamba-Nya tidak mampu. So, wake up Ain. Ingat matlamat utama hidup kau. Redha Allah target kau, Ilmu matlamat kau, Kehidupan sebagai jalan pintas kau, jadi takdir yang tersurat sebagai cabaran target dan matlamat kau. Jangan putus asa. 

Saat duka menguasai diri. Jangan lupa kalam Allah menanti untuk dibaca. Luahkan segalanya pada-Nya. Allah yang aturkan hidup kau Ain. Jadi, redha dan redha. Biarkan manusia menindas tapi jangan tangan sendiri menindas. Dengan semangat dan azam yang terasa diisi, aku melangkah ke bilik air untuk berwuduk. Kala duka singgah dihati, carilah Tuhan tenangkan diri. 

Semenjak hari itu, aku susuri hari-hariku dengan penuh semangat. Tiada dia, tiada siapa yang menjadi penyebabnya melainkan Tuhanku. Aku redha, itu kunci kebahagiaan untukku walau dalam derita sekalipun. Dia juga walaupun kami tidak lagi semesra dulu, aku tahu dia sering bertanyakan diri aku melalui rakan-rakanku. Dia tetap dia, sentiasa memantau keadaanku. Biarkanlah dia, asalkan dia hormat pendirianku untuk tidak terlalu mendekat itu sudah memadai. Biarlah siapapun dia. Dia adalah sejarahaku, masa depanku yang mencabar sedang menantiku. Jadi, aku tiada masa untuk bermain dengan perasaan. Aku perlu siapkan diriku supaya kuat dengan dugaan dan cabaran yang mendatang. Sekiranya dia jodohku, Allah akan satukan kami juga. Kun fa ya kun..

*****

Hari ini merupakan hari lahirku yang ke 22. Seperti yang telah aku sedia maklum, hari ini aku perlu berurusan dengan Encik Hamid bagi memenuhi wasiat pusaka arwah ayah. Setelah memiliki segulung ijazah selepas empat tahun berjuang, aku kini mengambil alih posisi ayahku sebagai pengarah syarikatnya. Jauh bersimpang dari jurusan yang aku ambil, tapi aku terpaksa juga mengambil kerusi milik arwah ayah ini untuk sementara waktu.
Setelah menandatangani pengesahan pewaris daripada wasiat ayah, aku memulangkannya kepada Encik Hamid. Mak Ina dan Aina sebagai saksi kelihatan bersilau mata mereka melihat pada angka yang bakal mereka miliki. Aku hanya mampu mengeluh dalam hati. Syukur juga hidup aku agak tenang setelah istikharah terhadap apa yang perlu aku lakukan. Pulangnya aku dari graduasi, awal-awal aku sudah siapkan syarat buat Mak Ina dan Aina agar tidak menyeksa hidup aku dan cuba mengatur hidupku. Walaupun tidak suka dengan cara ini, aku tetap gunakan syarat-syarat wasiat ayah sebagai cara menundukkan mereka.

Lebih membuatkan mereka akur, aku menulis surat rasmi akan carikan pembantu terbaik buat mereka, aku akan pergi tinggalkan mereka hidup tanpa aku, aku sendiri memindahkan semua aset yang arwah ayah berikan padaku kepada Mak Ina. Hanya 20% sahaja aku ambil untuk aku memulakan hidup baru. Banglo aku gantikan namaku kepada Mak Ina. Perpindahan semua relung-relung tanah yang diserahkan bawah namaku turut aku serahkan kepada Mak Ina. Dan perpindahan hak milik syarikat juga aku serahkan kepada Mak Ina. Walaupun Encik Hamid sebagai peguam ayah seringkali menasihati tindakan aku ini, tapi aku tetap melakukannya. Mereka ingin semua ini, jadi aku bagi. Sekiranya harta yang menjadikan bahagia buat mereka, jadi aku beri. Aku tidak perlukan semua ini untuk kebahagiaan aku. Aku hanya perlukan kebebasan, itu sahaja. Aku juga awal-awal telah berbincang dengan Pak Hamid untuk pergi dari sini. Jauh daripada mereka, jauh daripada orang yang aku kenal. Semuanya aku serahkan kepada Encik Hamid untuk uruskannya. Dan semua perjanjian rasmi yang aku, Mak Ina, Aina dan Encik Hamid tandatangani berkuatkuasa saat itu sehinggalah aku pergi meninggalkan banglo itu. Sesiapa yang melanggar syarat perjanjian akan dikenakan saman serta-merta. Walaupun agak tegas dengan pendirianku kali ini, tapi kerana nasihat Fateh untuk tentukan hidup aku sendiri maka ini jalannya setelah istikharah yang panjang.

Mereka akur dengan syaratku dan memutuskan pertunanganku, dalam waktu yang singkat sahaja segala surat perjanjian yang telah aku tulis terlaksana dengan pantasnya. Pembantu yang terbaik daripada pihak imegresen telah sampai dan telah mula berkhidmat buat mereka, dua orang pula tu. Pengesahan tentang pemindahan hak milik aset, rumah, tanah dan syarikat dengan rasminya menjadi milik Mak Ina dengan penyerahan dokumen daripada tanganku sendiri bersaksikan Encik Hamid. Aku tahu Mak Ina bakal menghalauku bila-bila masa sahaja setelah pertukaran hak milik dilakukan, jadi kerana itu aku tulis perjanjian rasmi tersebut. Selagi aku tidak meninggalkan banglo itu mereka tidak boleh berbuat apa-apa terhadapku. Esok pagi aku akan bergerak pergi dari sini, destinasinya telah Pak Hamid tentukan dan dia akan menjadi pemanduku esok. Setelah mengemas segala barangan milikku, aku keluar dari bilik kecilku untuk membasahkan tekak yang kering. Tetapi langkahku yang ingin pulang ke bilik terhenti mendengarkan perbualan Mak Ina dengan Aina.

“Mak, tak kan nak biarkan perempuan tu pergi macam tu saja.” Rengekan Aina kedengaran jelas di pendengaranku. Aku bersandar pada dinding cuba mencuri dengar perbualan mereka.

“Kau ingat mak akan biarkan perempuan tak guna tu terlepas macam tu sahaja.” Sepertinya kebencian Mak Ina terhadapku belum lagi bersurut. Aku mengeluh kecewa dengan layanan Mak Ina yang sampai ke sudah tidak berubah.

“Jadi mak ada rancangan ke?” Teruja suara Aina bertanyakan Mak Ina. Aku dekatkan lagi telingaku ke dinding.

“Of course la mak kau ni kan sentiasa segar dengan ideas. Mak dah rancang dengan Roslan untuk jual dia dekat tauke besar KL. Esok, Roslan dengan budak-budak dia akan culik perempuan tu selepas dia keluar dari rumah ni. Mak dah cakap dengan Lan suruh dapatkan dia sampai ke lubang cacing sekalipun. Asalkan perempuan tu kena jual! Kalau dia degil sangat, rogol sahaja ataupun bunuh terus. Mayat dia pandai-pandai Lan uruskan. Hal duit beres, semuanya milik kita sekarang ni. Untung berduit ni, apa yang kita nak semua jalan. Nak kuasai dunia pun boleh.” Mak Ina berseringai.

“Tak kejam sangat ke mak?” Aina bertanya lebih kepada mengejek. Realitinya suaranya menjerit keriangan mendengar rancangan kejam Mak Ina itu.

“Lantak dia. Asalkan aku puas, dulu mak dia yang buat aku menderita. Sekarang anak dia terbalas, aku puas. Lepas segala geram aku.” Satu-satu Mak Ina sebut seperti menyimpan dendam yang mendalam. Suara Mak Ina dan Aina berseringai ditambah dengan high five mereka bersorak.

Bom! Hancur luluh hati aku mendengarkan rancangan busuk Mak Ina. Terduduk aku ke lantai merintih dengan sikap manusia yang tidak berubah. Tuhan, kenapa mereka terlalu membenciku? Kenapa Ya Allah? Besarkah dosaku terhadap mereka. Sehingga aku menyerahkan segala-galanya kepada mereka, kebencian mereka terhadapku ternyata masih terbakar membara. Tidak menunggu lama, bilikku terjah. Handphoneku aku capai lantas mendail nombor Encik Hamid. Hanya beberapa tone, panggilanku berangkat.

“Assalamualaikum Cik Ain.”

“Waalaikumussalam. Encik Hamid, esok sebelum subuh datang ambil saya! Penting!” Tanpa menunggu balasan daripada Encik Hamid, panggilan aku putuskan. Dalam kegentaran yang menguasai diri, aku cuba tenangkan dengan berkali-kali bertasbih dan berzikir. Tubuhku baringkan pada katil cuba untuk tidur. Cukup mereka merancangnya, aku tidak akan biarkan perkara itu terjadi!

*****

Sebelum subuh kami sudah bertolak pergi. Tanpa pamitan aku bergegas meninggalkan rumah agam itu bersama isinya. Hanya pesanan aku titipkan buat pembantu rumah supaya disampaikan kepada Mak Ina. Agak jauh dan yakin tiada siapa menyedari peninggalanku, aku meminta Pak Hamid singgah di surau Asy-Syakirin. Azan subuh telah berkumandang, tidak elok pula rasanya berlalu tanpa menunaikan kewajipan dahulu. Setelah menunaikan solat, wirid dan mendengar kuliah subuh yang disampaikan aku mula mengatur langkah untuk meninggalkan negeri ini.
Keluar sahaja dari surau, langit sudah kelihatan cerah. Mungkin terlalu asyik mendengar kuliah subuh sehingga lupa niatku untuk pergi. Aku bergerak ke arah kereta yang diparking agak jauh dari surau. Surau telah pun kosong tetapi kelibat Encik Hamid belum kelihatan. Mungkin menantiku di dalam kereta, aku meneruskan langkah. Kereta yang berkunci memelikkan aku. Di mana Encik Hamid? Aku bersandar pada pintu kereta sementara menanti kehadiran Encik Hamid. Tetapi suara derapan langkah dari semak membuatkan telingaku tegak. Jantungku mula berdegup kencang tidak sedap hati dengan suasana sekeliling.

Melihatkan sahaja kelibat beberapa orang di sebalik rimbunan pokok aku tahu aku tidak selamat. Mungkin sahaja mereka dapat mengesanku. Tambahan pula surau Asy-Syakirin tidak mengambil masa yang lama untuk dicari daripada rumah agamku. Arhh.. terlalu lama di sini tidak sedar pula mereka mencariku. Tanpa menunggu, aku berlari semahu-mahunya daripada mereka. Telahanku tepat aku sasaran mereka apabila melihat mereka mengejarku dari belakang. 

Mengikut kaki yang berlari, tanpa tujuan sedar-sedar sahaja aku sudah berada di kawasan pantai. Mataku meliar cuba mencari tempat untukku sembunyikan diri. Tapi, tindakanku terlalu lambat dan mengah apabila lelahku mula menyerang. Tidak sempat mengeluarkan paip oksigenku, kakiku tersadung membuatkan aku jatuh tersembam. Sekarang aku dikelilingi oleh mereka dengan penuh bernafsu melihat aku. Gentar di hati usah dicakap hanya Allah sahaja yang tahu. Pantas tindakan mereka tidak membuang waktu yang ada mengheretku untuk pergi. Puas aku meronta melambatkan usaha mereka untuk membawaku pergi akhirnya menerima tamparan daripada mereka. Hampir pitam aku dibuatnya.

Saat tubuhku dilemparkan dengan kasar ke kawasan semak, aku menahan perit. Cuba mengatur nafas yang kian lelah, aku tegarkan diri untuk sedar dengan dunia realitiku. Apapun yang berlaku, aku perlu pertahankan maruahku. Aku tak akan biarkan mereka menyentuhku walau seinci. Melihatkan Roslan yang mula bertindak ghairah terhadapku, aku mula bertindak. Tubuhnya yang menindihku membuatkan aku mengangkat lututku melutut kuat pada perutnya yang tidak berbaju. Aku tahu dia senak. Dia yang sedang menahan sakit memberi peluang kepadaku untuk cuba melepaskan diri. Konco-konconya yang lain terlepas dengan tindakan pantasku. Aku berlari sekuat hati di persisiran pantai.

Teringatkan kata-kata Mak Ina yang menyuruh mereka membunuhku sekiranya aku melawan, fikiranku mula tidak rasional. Ombak pantai yang menghempas kasar membuatkan aku tidak mampu lagi berfikir. Air mata sudah membasahi seluruh wajahku. Kakiku sudah penat untuk berlari sedangkan mereka di belakang masih mengejarku penuh semangat. Nafasku juga semakin sesak lantas aku melutut ke tanah. Kehilangan tenaga sepenuhnya. Dan mereka mengangkat aku kasar. Roslan yang berang dengan perbuatanku tadi dengan kasar melayangkan penamparnya pada wajahku. Aku tiada daya untuk melawannya yang lebih bertenaga berbanding aku.
Roslan mengeluarkan pisau lipat dari poketnya lalu diacukan pada leherku yang terdedah akibat tudungku yang entah ke mana melayangnya. Seperti tahu aku tidak berdaya lagi, konco-konconya diarah supaya melepaskan aku. Aku berdiri tidak bermaya. Sambil bermain-main pada lipatan pisau yang tajam, Roslan mengelilingiku dengan ketawa senangnya. Dia mendekatkan wajahnya pada leherku bercumbu ghairah. Terasa tercemar dengan perbuatannya, aku menolak tubuh Roslan. Pisau di tangan Roslan segera aku rampas.

“Ini yang korang nak kan! Korang nak aku matikan! Sekarang aku tikam diri aku sendiri. Puas hati korang!” Dengan bersuara lantang aku berkata kasar sambil meninggikan hujung pisau lalu kutikam pada dada kiriku. Mereka semua nyata terkejut dengan tindakan beraniku. Tidak cukup dengan tikaman itu, kudrat yang ada aku berlari semahu-mahunya ke arah hempasan ombak. Sekiranya aku mati, biarlah mayatku dibawa pergi arus laut. Biarlah jasadku tidak berkubur. Tiada siapa yang perlukan aku. Mereka yang terpaku dengan tindakan aku segera melarikan diri masing-masing. Melawan hempasan ombak yang kasar, aku berlari sedalam-dalamnya sehingga kaki aku tidak mampu lagi berpijak pada pasir. Nafasku semakin sesak, kesakitan yang menyucuk semakin mencengkam. Terasa degupan jantungku semakin lemah.

Tubuhku terasa melayang ditarik seseorang kembali ke daratan. Sisa nafas yang ada aku cuba kuatkan melihat siapa yang cuba menyelamatkanku. Tolong! Tolong biarkan aku mati di sini! Aku tidak perlukan sesiapa untuk menyelamatkan aku! Apabila kakiku menjejak ke tanah, aku menolak si dia yang mengheretku ke daratan. Walaupun kabur tapi aku tahu, aku kenal wajah cina itu. Dia orang yang aku doakan menjadi jodohku. Tapi, aku tak perlukan dia. Aku lebih rela mati! Dia terlepas pegangan tanganku apabila aku merentapnya. Tanpa menghiraukan dia yang menjerit namaku, aku terus berlari kembali ke pantai. Namun, dia pantas menarik aku.
“Lepaskan aku! Aku nak mati saja! Orang semua bencikan aku!” Aku meronta-ronta lagi. Kesan tikaman semakin terasa. Kepalaku semakin berpijar.

“Ain! Awak sedar tak apa yang awak cuba lakukan ni?” Dia turut menjerit cuba menyedarkan aku. Kami bergelut dengan sikap degilku untuk kembali ke laut.

“Aku nak mati! Kau pergi! Aku tak kenal siapa kau! Kau tak kenal siapa aku! Jadi lepaskan aku! Aku nak mati!” Aku terduduk akibat kudrat yang semakin melumpuh. Walaupun begitu, aku cuba merangkak untuk kembali ke laut. Dia sepertinya geram dengan sikap degilku, mengendungku jauh dari sisir pantai. Agak jauh, dia berhenti lalu dudukkan aku di atas pasir. Nafasku sudahpun nyawa-nyawa ikan membuatkan mataku terpejam. Dalam separuh sedar aku berkata kepadanya sambil cuba bergerak.

“Tolong lepaskan aku.. aku nak mati.” Dengan nada yang lemah aku berkata. Aku yang disandarkan pada dadanya tidak mampu lagi bergerak. Bunyi hempasan ombak tidak lagi aku kedengaran. Bau hamis darah yang mengalir bercampur dengan bau masin air laut memedihkan tusukanku. Kesakitan yang tidak mampu lagi aku tanggung membuatkan aku tidak lagi sedarkan diri. Yang aku tahu, tubuh aku erat dipeluk dia membuatkan aku tenang menutup mata. Terpisah dengan alam dunia dan alam lain.

*****

Sedar sahaja daripada lenaku yang panjang, aku disambut dengan wajah mencuka Mak Ina dan Aina yang sedang berdiri memeluk tubuh di sisi kiri katil. Peliknya Mak Ina berpakaian bewarna jingga semuanya seperti banduan dan tangannya digari. Mengapa? Aku pandang pula ke kanan, Anis yang sedang menangis tersenyum gembira bersama Encik Hamid dan dia turut hadir menemani aku. Melihat tiub yang berbirat disambungkan pada tubuhku, ditambah pula tempat tusukan yang berbalut membuatkan aku sedar aku berada di hospital.

“Air…” Lemah suaraku meminta. Segera dia tuangkan air mineral lalu membantu aku meneguknya. Mak Ina dan Aina mencebik melihat layanan dia terhadapku. Anis awal-awal lagi memeluk tubuhku erat, berderai tangisannya membasahi bahuku diselangi dengan mulutnya laju memarahi tindakan bodoh aku. Aku hanya tersenyum kecil membalas pelukan dia. Kenyataannya, aku tidak gembira dengan keadaanku kini. Kenapa Allah masih memberikan peluang untukku bernafas sedangkan aku sudah tidak sanggup lagi meneruskan penderitaan hidup ini. Aku bukan nabi, aku bukan wali, aku bukan syuhada’, aku bukan srikandi, aku bukan mujahadah, aku bukan golongan mulia, aku hanya hamba lemah lagi hina. Tak selamanya aku mampu menjadi manusia yang sabar dan redha dengan ujian-Mu. Aku takut andainya aku tidak mampu lagi menanggung semua ini, hatiku menyalahkan Tuhanku. Aku takut sangat. Nauzubillah.

“Cik Ain macam mana? Dah rasa okey? Masih rasa sakit lagi.” Encik Hamid prihatin bertanyaku. Wajah yang sudah separuh abad itu aku pandang. Ada sesuatu yang aku baru perasan, Encik Hamid lelaki yang telah selamatkan aku dulu. Dialah lelaki cina yang aku anggap sebagai heroku. Disampingnya berdiri Fateh juga lelaki cina yang aku anggap bukan sekadar saudara seislam, tapi dia aku hajatkan menjadi jodohku. Mereka berdua aku bandingkan, persamaan mereka hanya satu. Mereka mempunyai darah cina yang mengalir dalam tubuh mereka. Bagaimana mereka boleh saling mengenali? Apa hubungan Encik Hamid dan Fateh? Siapa mereka sebenarnya? Persoalan itu aku biarkan tergantung di benak. Pertanyaan Encik Hamid aku jawab dengan senyuman lemah.

“Masih rasa sakit di dada kiri. Mungkin luka tusukan tu belum baik.” Dengan lemah aku menjawabnya.
“Oh, sabarlah cik. Tak lama lagi Cik Ain akan sembuh. Mujur tikaman cik tidak mengenai jantung. Hanya lukanya agak dalam sahaja. Doktor cakap jangan terlalu banyak bergerak, takut jahitan pada luka kembali terbuka.” Aku mengangguk dengan pesanan Encik Hamid itu. Fateh hanya memerhati disisi. Tidak bersuara, tidak juga senyuman. Dia hanya memandangku sahaja dengan wajah murung. Tidak mahu terlalu ambil kisah fasal dia. Encik Hamid aku gamit.

“Encik Hamid…” Walaupun perlahan, Encik Hamid mengerti panggilanku lantas menghampiriku. Anis membuka ruang buat Encik Hamid untuk mendekat. Faham isyaratku, Encik Hamid mendekatkan telinganya di bibirku.

“Kenapa Mak Ina dan Aina berada di sini? Dan kenapa juga Fateh berada di sini?” Perlahan bisikanku tapi tekun didengari Encik Hamid. Dia berdiri tegak daripada kedudukannya tadi dan diam seketika. Satu persatu wajah di dalam bilik ini dipandangnya. 

“Soal Fateh, saya akan beritahu kemudian. Sebelum tu, boleh Fateh dan Cik Anis tinggalkan kami dahulu. Hanya keluarga Encik Zaidi sahaja yang terlibat.” Serius Encik Hamid berkata agak protokol. Fateh dan Anis yang memahami bergerak berundur keluar dari ruang wad ini. Aku pelik dengan arahan Encik Hamid tapi tidak bertanya. Hanya memerhati apa yang Encik Hamid ingin lakukan dan ingin sampaikan. Mak Ina dan Aina kelihatan sudah tidak senang duduk dengan wajah gusar dan mencuka. Mengapa dengan mereka? Encik Hamid mengeluarkan sebuah fail dan beberapa keping surat dari beg kerjanya. Kemudian, beberapa salinan dokumen dikeluarkan dari fail tersebut dan diedarkan kepadaku dan Mak Ina. Aku membaca tajuknya. ‘Syarat Pewaris Harta Pusakan Keluarga Zaidi’. Aku mengerutkan kening membaca tajuk tersebut. Encik Hamid menghulurkan sekeping kertas yang mengandungi laporan polis kepadaku. Sekali lagi dahiku berkerut.

“Maaf, Cik Ain. Kecuaian saya kerana ke tandas terlalu lama kelmarin. Kerana saya, cik terpaksa menghadapi semua ini.” Perbicaraan kami dimulai dengan ucapan maaf daripada Encik Hamid. 

“Tak ada apa Encik Hamid. Sekarang saya dah selamat dah kan. Jadi, boleh encik terangkan kenapa encik serahkan semua ini. Dan kenapa nama Mak Ina ada dalam laporan polis ini?” Aku terus bertanya titik topik sebenar kami.
“Untuk makluman cik, Roslan dan rakan-rakannya telah ditangkap oleh pihak polis atas kesalahan cubaan menculik, merogol dan membunuh cik. Mereka tidak sempat melarikan diri kerana pihak polis berjaya memberkas mereka. Setelah siasatan lanjutan dilakukan, ternyata Puan Azlina turut terlibat dalam kelompok rancangan ini. Tapi, saya meminta kebenaran polis untuk membawa Puan Azlina bertemu dengan Cik Ain kerana terdapat beberapa perkara yang harus diselesaikan segera.”

Seperti sudah diagak, ternyata sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Selicik-licik perancangan manusia, licik lagi perancangan Tuhan. Tidak hairan mengapa Mak Ina berpakaian begini. Tapi, aku tetap berasa sedih dengan nasib menimpa Mak Ina. Walau sejahat mana pun dia, aku tetap menganggapnya sebagai satu-satunya keluargaku. Aku memandangnya simpati. Tetapi Mak Ina tidak hairan dengan pandangan simpatiku, malah aku dilontarkan pandangan tajam dan mencuka. Aku teerluka dengan layanan dingin Mak Ina. Walaupun kemenangan berpihak padaku, dia masih dengan sikapnya yang penuh kebencian terhadapku.
“Urusan apa yang ingin Encik Hamid selesaikan?” Aku menyoal.

“Berdasarkan syarat yang telah Encik Zaidi wasiatkan kepada bakal pewaris hartanya. Syarat telah tertulis pada nombor 21, bahawa sekiranya pewaris mutlak atau pewaris asal memindahkan sebarang harta, aset, rumah, tanah mahupun syarikat yang seharusnya menjadi miliknya kepada orang lain samada keluarga sendiri mahupun orang luar maka haruslah harta itu berubah hak milik dengan persetujuan semua.” Encik Hamid berhenti seketika pada syarat yang dibacakan dalam dokumen yang telah ayah tulis. Aku turut memandang pada salinan yang diberikan kepadaku.

“Syarat pada 22, tetapi harta yang telah bertukar hak milik akan terbatal dengan serta-merta dan menjadi hak milik pewaris asal semula sekiranya cubaan membunuh, mencederakan dan sebarang cubaan jenayah terhadap pewaris asal sebelum 30 hari pertukaran hak milik.”

“Oleh disebabkan cubaan Puan Azlina berlaku kejam terhadap Cik Ain sebelum 30 hari perpindahan hak milik dilakukan walaupun Puan Azlina telah disahkan pemilik tetap harta tersebut, dengan bukti laporan polis akan perbuatan Puan Azlina maka pertukaran hak milik terbatal serta-merta. Dengan itu, Puan Azlina tidak lagi layak memiliki sebarang harta milik keluarga Encik Zaidi walaupun dengan simpati pewaris berdasarkan syarat yang ke-23. Saya harap penerangan saya ini jelas untuk semua orang termasuk Cik Ain.”

Encik Hamid menutupi bicaranya dengan ungkapan demikian. Aku terasa kecewa dengan syarat yang telah arwah ayah lakukan. Mengapa ayah menetapkan syarat begitu? Tidak kasihankah ayah kepada Mak Ina dan Aina? Mereka juga keluarga kita, ayah. Bagaimana kehidupan Aina nanti? Sudahlah ibunya terpaksa hidup di sangkar besi, lantas dengan siapa dia bakal bergantung harap? Aku memandang wajah sugul Mak Ina dan juga Aina. Aina memeluk bahu ibunya dengan penuh kasih. Lihatlah mereka, walaupun mereka kejam kasih sayang turut wujud dalam diri mereka. Mereka juga manusia ayah.

“Berapa lama Mak Ina akan ditahan Encik Hamid?” 

“Tidak lebih 10 tahun, cik.” Remuk hatiku. Sayu.

“Bagaimana keadaan Aina?” 

“Dia masih boleh tinggal di rumah cik, jika cik izinkan. Hanya pindahan hak milik sahaja tidak boleh dilakukan Cik Ain.”

“Bagaimana pula keadaan Mak Ina selepas Mak Ina ditahan?”


“Puan Azlina masih boleh teruskan hidupnya melalui bahagian yang dimilikinya sebagai isteri setelah arwah meninggal.” Lega sedikit rasaku.

“Encik Hamid… macam mana kalau saya nak encik batalkan sahaja wasiat ayah? Saya tetap nak serahkan semuanya kepada Mak Ina dan Aina. Saya tak nak semua tu. Saya hanya nak hidup sendiri.” Aku meminta dalam nada yang sayu cuba memujuk. Wajah Encik Hamid aku pandang berharap dia pertimbangkan permintaaku. Dia kelihatan menarik nafas dalam sebelum dihembus tenang.

“Maaf cik. Saya telah pun mengangkat sumpah memastikan semua wasiat yang telah arwah tulis terlaksana. Saya berjanji dan saya tak mahu menjadi munafik walaupun ia hanya peraturan ciptaan manusia. Janji tetap janji.” Tegas jawapan Encik Hamid membatalkan niatku.

“Tapi Encik Hamid…”

“Tak payah! Aku tak luak dengan simpati kau!” Suara lantang Mak Ina mengejutkan aku. Aku menahan luka di hati, cuba bersabar.

“Aku pun tak ingin hidup dengan wang atas simpati kau. Sememangnya keluarga kau pembawa sial! Sebabkan kau aku jadi macam ni! Sebabkan mak kau aku jadi macam ni! Jadi, tak payah kau buat baik dengan aku! Aku benci kau! Aku benci semua yang berkaitan dengan kau!” Hancur hati aku dilumatkan dengan suara bengis Mak Ina. Sebak yang menguasai diri tidak mampu aku kawal lantas menyebabkan air mataku laju mengalir membasahi pipi. 

“Tapi kenapa? Kenapa Mak Ina!?” Aku bertanya kasar geram dengan layanan Mak Ina sehingga sekarang. Tiada langsung rasa kesal pada wanita itu. 

“Kau nak tahu sebab apa!? Dengar baik-baik apa yang mak kau telah buat. Mak kau tu anak pungut sahaja dalam keluarga aku. Sepanjang hidup aku, aku tak pernah nak rasai kasih sayang daripada mak ayah aku sendiri. Tapi, selepas mak kau muncul dalam hidup aku. Aku dipinggirkan. Segala kemewahan diberikan kepada dia. Sehinggakan dia dipilih berkahwin dengan lelaki yang hidup senang. Memang mak kau tak pernah buat jahat dengan aku. Tapi, Tuhan tak adil jadikan anak pungut macam dia hidup senang mengalahkan permaisuri. Sedangkan aku! Aku dikahwinkan dengan orang kampung biasa yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sebabkan kelebihan dia, aku dengki! Aku dendam dengan mak kau! Lepas laki aku mati, aku minta nak kahwin dengan ayah kau. Memang aku guna ilmu hitam cuba nak dapatkan ayah kau. Akhirnya kau dengan mak kau terpaksa terima aku sebagai keluarga korang. Niat aku hanya satu, aku akan pastikan hidup korang menderita seperti aku rasa. Kau faham sekarang!?”

Air mata aku mengalir laju mendengar penerangan Mak Ina satu persatu. Apabila hati manusia menjadikan nafsu amarah sebagai tuhan, beginilah kesannya. Aku simpati dengan kehidupan Mak Ina yang akhirnya menyebabkan aku menjadi tempias rasa dendam dan bencinya. Tidak hairan mengapa Mak Ina sangat bencikan aku. Ternyata hidupnya membuatkan benih-benih dendam bertunas dalam dirinya.

“Ain minta maaf Mak Ina. Tapi Ain ikhlas sayangkan Mak Ina. Mak Ina satu-satunya ibu Ain sekarang.”
“Tak payah! Tak luak aku! Aku lebih rela hidup merempat daripada terpaksa terima kau berada di atas aku. Selama-lamanya kau anak dia! Selama-lamanya aku benci dia! Dan selama-lamanya aku benci kau. Kau tunggu! Suatu hari nanti kau akan rasa macam mana aku rasa!”

“Aku cuma minta satu sahaja dengan kau. Jangan kau libatkan anak aku dalam hal ini. Berikan dia tempat tinggal kerana dia satu-satunya anak aku. Kau faham!?”

“Tapi mak…! Aina tak mahu hidup dengan perempuan ni.” Aina menjerit bantah tapi tidak diendahkan Mak Ina.
“Kau faham tak?” Mak Ina menjerit lagi.

“Ain faham, Mak Ina. Jangan risau, walaupun rumah itu milik Ain. Ain akan berikan kepada Aina. Ain tak akan hidup di sini lagi.”

“Bagus. Jangan kau bahagia dengan hidup kau. Aku akan pastikan dendam aku terbalas sampai aku mati.”
Usai berkata demikian, Mak Ina berlalu pergi. Aku memandang sepi dengan linangan air mata. Mak Ina dibawa pergi oleh dua orang polis yang menunggu di luar pintu wad. Bertambah sayu hati aku melihatkan Aina meraung cuba menahan Mak Ina daripada dibawa pergi. Dahsyat sekali balasan-Mu di dunia ini Ya Allah. Ya Rabb, hamba bermohon padamu cukuplah Kau menghukum mereka di dunia ini. jangan Kau menghukum mereka di akhirat-Mu juga. Kau bukakanlah hati mereka supaya menerima hidayah-Mu. Kau lembutkanlah hati mereka Ya Latif.

*****
Aku memegang surat yang ditinggalkan ayah kepada Encik Hamid untuk diberikan kepada aku. Apa yang berlaku hari ini sangat melelahkan. Cuba menenangkan diri dan melapangkan dada aku meminta Encik Hamid membawa aku ke taman hospital. Ditemani Anis dan Fateh aku berdiam diri di sini. Cubaan mereka mengajakku berbual tidak aku layan. Mujur mereka mengerti, apabila aku diam aku memilih untuk tidak menjawab, apabila aku diam aku memilih untuk bersendirian. Mereka hanya memantau aku dari jauh. Surat yang hampir lusuh itu aku buka. Terasa aura mereka berada di sampingku. Ayah dan juga ibu…

---Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum w.b.t putri ayah, putri ibu,
Semoga putri kami berada di bawah lindungan dan kasih sayang Yang Maha Kuasa. Saat Ain membacakan warkah ini, pasti Ain sudah begitu dewasa sekali. Pasti cantik anak ayah dan ibu ini. Terasa rindu ingin menyentuh dan membelai wajahmu nak.


Putri, saat Ain memiliki warkah ini. Ketahuilah Ain, ayah sudah tiada, ibu juga telah pergi meninggalkan dunia ini. Warkah ini telah ditulis ayah diatas permintaan ibu, warkah ini saksinya ayah berhadapan dengan ibu yang sedang bertarung nyawanya demi menyampaikan lautan kerinduannya buatmu sayang. Sungguh, kami rindu kamu sayang.
Pertama-tama maaf daripada ibu kerana meninggalkanmu sayang. Ibu terlalu kecewa dengan ayahmu menceraikan ibu disebabkan fitnah yang tiada berasas. Tapi, khilaf ayahmu ibu telah maafkan. Bagaimana ayahmu ingin berfikir rasional apabila marah dan syaitan menguasai diri. Maaf putri ibu, ibu tidak berniat untuk meninggalkan Ain menanggung derita Ain sendirian. Ibu tahu pasti anak ibu derita sekali hidupnya. Sekali lagi maaf. Ibu tidak mampu melindungi pukulan Mak Ina terhadapmu sayang. Maaf sayang. Pasti sakit sekali tubuhmu nak. Adakah kamu menyapu ubat seperti ibu sering lakukan padamu? Kasihan anak ibu. Sayang, pesan ibu bersabarlah. Kebenaran tak pernah tewas jadi bersabarlah. Hiduplah dengan kasih sayang ibu, kasih sayang ayah dan kasih sayang Ilahi. Dia sentiasa bersama Ain, dan kami juga sentiasa bersama Ain dalam hati Ain. Tapi, nikmat hidup tak selamanya menjadi milik kita. Jadi, ibu tidak lagi mampu bertahan untuk teruskan hidup. Sungguhpun, rindu ibu pada Ain tersangat-sangatlah luas namun kesihatan ibu tidak mengizinkan ibu menemui Ain. Walaupun ayahmu memaksa ibu bertemu dengan putri ibu, tapi ibu tak sanggup melihat air matanya mengalir melihat keadaan ibu. Ibu mengidap penyakit barah payu dara. Saat ibu diceraikan ayah, saat itu ibu telah menghidapinya. Kerana itu ibu memilih untuk tidak membawa Ain bersama ibu. Untuk menyara kesihatan ibu sahaja ibu tak mampu, bagaimana untuk ibu menjagamu sayang. Sekurang-kurangnya, anak ibu selamat walaupun hidupnya penuh derita. Warkah ini warkah cinta daripada ibu. Tatap dan kenanglah warkah ini jika kamu rindukan ibu. Ibu hanya ingin kamu tahu ibu sayang kamu selamanya. Ibu akan menemui Ain di syurga sana. Jadi, teruskan hidupmu putri dengan mengikut suruhan Ilahi agar kita dapat bertemu di syurga sana. Salam sayang daripada ibu.
Putri, itu pesan ibumu dan ketahuilah dia menghembuskan nafas terakhirnya setelah ibumu selesai mengungkapkan kata rindunya buatmu. Saat itu kamu sedang menduduki peperiksaan PMR. Maafkan ayah kerana memisahkanmu dengan ibu. Sungguh ayah tidak tahu ternyata hidup ibu dan Ain tersangat menderita. Ayah sedar ayah melepaskan tanggungjawab ayah terhadapmu, tapi maaf ayah khilaf. Ayah dikawal oleh buatan Mak Ina kamu, sekali lagi maaf. Atas bantuan seorang ustaz, Alhamdulillah ayah kembali menjadi diri ayah yang dulu. Ain, sayang sekali ayah tidak dapat membetulkan kesilapan ayah selama ini. Peluang untuk ayah teruskan hidup bersama Ain lebih lama tidak diizinkan Yang Maha Kuasa. Ayah mengidap sakit jantung yang kronik tapi ayah tidak mahu kamu risau. Kerana itu ayah tidak mahu kamu tahu keadaan ayah.
Mak Milah dan ibu telah ceritakan segala-galanya kepada ayah apa yang telah Mak Ina lakukan kepada Ain. Ayah minta maaf kerana kesilapan ayah menikahinya. Tetapi ayah tidak mahu menceraikannya kerana sekiranya ayah pergi masih ada orang untuk menjaga Ain. Ayah tidak mahu menimbulkan kesalahnnya yang akan menyebabkan kami bergaduh. Mungkin sekali sekiranya ayah terlalu marah menyebabkan ayah diserang sakit jantung, dan ayah takut ayah akan pergi tanpa sempat melihat Ain. Cukup ayah habiskan hari-hari terakhir ayah untuk bersama Ain.
Ayah tahu, saat ain bacakan warkah ini ayah telah tiada. Pasti Ain begitu pelik mengapa ayah mengaturkan begitu banyak syarat untuk wariskan harta ayah kan? Ayah tahu putri ayah begitu lembut hatinya. Jadi ayah tahu, putri ayah tidak akan menerima harta yang ayah wariskan buat Ain. Ayah sudah dapat mengagak Ain akan pindahkan semuanya kepada Mak Ina. Putri, mengapa kamu begitu baik sayang? Tetapi ayah bangga dengan kamu. Sebagai langkah berjaga-jaga, ayah yakin sekali ibu tirimu pasti akan menyalahgunakannya dan mungkin bertindak kejam keatasmu. Maka, kerana itu ayah menetapkan semua syarat ini. Ayah hanya ingin anak ayah berjaya. Cukup Ain dapat miliki segulung ijazah yang selalu Ain sebut kepada ayah setiap malam. Jadi, ayah tak mahu ibu tirimu menghancurkan impianmu.
Putri, ayah harap putri faham segala tindakan ayah. Semoga semua yang ayah lakukan ini dapat menebus segala kesalahan ayah terhadap Ain dan ibu. Sekiranya Ain tidak mahu mengambil alih syarikat ayah, ayah tidak kisah. Kerana cita-citamu pilihanmu, ayah tidak mahu menghalangnya. Serahkan sahaja kepada Encik Hamid rakan baik ayah yang sering membimbing ayah walaupun dia seorang muallaf. Ayah banyak belajar daripadanya. Kerana nasihatnya juga ayah baru sedar ayah telah digunakan Mak Ina kamu. Ayah pernah mengutarakan hal ini kepadanya, walaupun tidak mahu tapi dia akan terima kerana tidak sanggup melihat hasil titik peluh ayah jatuh ke tangan orang lain. Lagipun, Encik Hamid selalu ceritakan anaknya Fateh yang begitu berminat dalam bidang perniagaan. Mungkin dia akan berikannya kepada Fateh. Ayah juga sering bertemu dengan Fateh, anak yang baik dan bijak. Terdetik juga ingin menjodohkan dia denganmu. Tapi, hidupmu putri hanya tanganmu boleh tentukan. Ayah tidak kisah.
Pesanan terakhir ayah, jangan kamu belakangkan Quran dan Sunnah dalam hidupmu. Jadikan Allah sebagai rujukan utama untuk Ain meneruskan hidup ini. Bersabarlah dengan setiap ujian. Jika Ain sudah bersuami patuhilah dia. Jangan sakiti hatinya. Jadikan Saidatina Khadijah, Fatimah Az-Zahra’ dan Saidatina Aisyah sebagai srikandi ikutanmu dalam menjalankan tanggungjawab seorang isteri dan muslimah. Akhir coretan dari ayah, ketahuilah ayah begitu sayangkan kamu. Hadirkan nama ayah dan ibu dalam setiap doamu. Ingatlah, kami sentiasa di hati Ain dikala susah dan senang Ain.
Salam sayang dan rindu daripada ayah dan ibu,
Buat bidadari kecil kami---
*****
“Assalamualaikum cinta. Pagi!” Saat aku mencelikan mata aku disapa lembut daripada dia yang tersenyum manis buatku. Dia mengucup dahiku penuh syahdu seperti hari-hari sebelumnya.
“Waalaikumussalam, kasih. Abang tak pergi kerja ke?” Aku bertanyakan soalan itu saat melihat angka jam di dinding sudah menjangkau jam 7.00 pagi. Selalunya sebelum pukul 6.30 pagi, Fateh telah keluar dari rumah. Nak hindarkan traffic jam katanya. Lagipun jarak Sungai Petani nak ke Penang jauh juga tu. Terasa bersalah pula dengan suami sendiri bangun lambat. Inilah akibatnya bila datang bulan. Badan cepat letih sampaikan tidur pun tak ingat esok ada lagi.
“Ikut suka abanglah, office abang. Lagipun terasa sayang pula nak tinggalkan isteri abang ni. Demam sayang semakin menjadi. Abang bawakan pergi klinik ye.” Prihatin sekali dia berkata sambil melekapkan tangannya di dahi dan di leherku bagi menyukat suhu tubuhku.
“Kelmarin kan dah pergi. Abang ni risau tak bertempat. Nanti-nanti kebah la demam ni. Bukan boleh sembuh serta merta.” Aku bangun dari baringku lalu mengeliat kecil cuba meregangkan sedikit tubuhku.
“Abang off la hari ni. Nak honeymoon dengan bini sendiri. Lama sangat dah ni tak buli sayang. Sekali-sekala nak luangkan masa bersama tak salah kan.” Terjegil mataku mendengarkan kata-kata Fateh.
“Eee.. gatalnya. Mengada betul.”
“Biarlah! Dengan bini sendiri je pun bukan dengan bini orang.” Semakin besar jegilan aku dengan sikap nakalnya. Tubuhnya aku pukul manja melepaskan geram. Dia ketawa mengejek dan menggeletek aku sebagai karma. Menjerit aku kegelian dikerjakan oleh Fateh. Ketawa kuat kami dengan sikap kami sendiri yang kebudak-budakan. Kebah terus demam aku sebab semput ketawa sahaja.
Aku tersenyum bahagia dengan hidupku kini. Setelah aku keluar dari hospital enam tahun yang lalu, seperti yang aku rancang banglo aku berikan kepada Aina untuk keselesaan hidupnya. Lagipun Aina juga lebih pasif daripada dulu setelah Mak Ina dimasukkan ke dalam penjara. Dia juga kini bekerja di syarikat papa yang aku pindah milik kepada Encik Hamid. Dengar kata, dia serahkan kepada anaknya. Aku tak kisah kerana ayahnya jujur pasti anaknya juga jujur. Jangan dia musnahkan syarikat ayah sudah.
Niatku untuk berpindah aku teruskan. Seharusnya, aku berpindah ke Johor seperti yang aku rancangkan dengan Encik Hamid. Tetapi terasa sayu pula apabila teringatkan Mak Ina dan Aina. Kalau duduk di Johor pasti sukar untuk aku menjenguk mereka. Jadi, aku mengubah keputusan untuk berpindah ke Kedah sahaja. Mujur ayah ada tanah dan vila di Sungai Petani. Jadi, aku tinggal di situ yang kini menjadi rumahku dan Fateh.
Aku mulakan hidup dengan meminta pekerjaan menjadi pensyarah dan permohonan itu diluluskan dengan mudah sekali. Alhamdulillah, hidupku walaupun sendirian tapi aku bahagia. Soal Fateh, dia pernah meminta untuk meminangku dan meneruskan hidup denganku. Walaupun gembira dengan lamarannya tapi aku ragu-ragu sekiranya dia hanya simpati dengan kehidupanku. Jadi, tanpa jawapan aku pergi meninggalkan dia.
Setelah empat tahun, dia muncul di hadapanku ketika aku sedang asyik bermain badminton dengan Anis di rumah. Walaupun pelik bagaimana dia boleh mencariku, tapi melihatkan lirikan Anis jawapan telah tertulis. Anis punya kerja la ni. Kali kedua dia menyampaikan hajatnya untuk menikahiku. Lantas tanpa ragu-ragu aku bertanya mengapa dia ingin menikahiku.
Tenang dia menjawab, dia begitu tertarik dengan kesabaran aku menempuhi segala kesulitan. Dan hatiku tersentuh saat dia mengatakan cinta padaku kerana keperibadianku bukan kerana simpati. Walaupun dia sangat mengenali aku semenjak aku masih kecil, tapi mengenali aku dalam kehidupan yang sebenar buatkan dia lebih jatuh cinta dengan aku. Ternyata Fateh merupakan anak sulung Encik Hamid. Tidak hairan mengapa segala kisah aku dia tahu. Maklumlah Encik Hamid sentiasa menerima laporan setiap apa yang berlaku padaku daripada Mak Milah. Fateh menceritakan bagaimana dia begitu tertarik untuk terus rapat denganku bermula dengan insiden lucu aku langgarnya dan masuk di kawasan dorm lelaki. Ketawa kami berdua saat dia ungkitkan peristiwa itu. Semenjak itu, setiap kali kem pasti dia ingin melihat aku. Katanya dia rasa seperti ada sesuatu tentang diri aku yang ingin dia selami. Setiap kali mendengar cerita ayahnya aku dipukul pasti dia rasa marah.
Suatu hari, peristiwa aku dipukul teruk oleh Mak Ina disebabkan fitnah Aina telah disampaikan Mak Milah kepada Encik Hamid. Encik Hamid yang tahu tempat kegemaranku di kala duka, segera membuat perancangan untuk berkelah. Kerana itu aku bertemu dengan dia di pantai. Dia ceritakan betapa dia sedih melihat aku yang kelihatan sangat teruk membuatkan dia terasa ingin memelukku untuk memberi kekuatan buat aku. Sekali lagi aku tersentuh dengan keprihatinannya itu. Dia teruskan bicaranya meluahkan rasa hatinya dan aku setia mendengar.
“Saya begitu pelik dengan diri saya semenjak saya pulang dari pantai. Setiap hari saya akan bertanyakan pada ayah. Ain hari ni macam mana? Dan ayah tak pernah bosan menjawabnya. Perkara itu berterusan sehingga saya bertanyakan diri saya sendiri. Mengapa aku begitu prihatin kepadanya? Lebih membuatkan saya bingung apabila saya perlu berdepan dengan tabiat memikirkan awak setiap masa. Teringat pula saya pernah panggil kawan sekelas saya Ain sebab wajah dia ada iras-iras awak sikit. Puas saya disakat satu kelas kerana kesilapan saya itu. Hahaha… akhirnya saya soal hati saya. Adakah Ain Farhani telah mengisi ruang hati saya? Saya meminta petunjuk daripada Allah dan akhirnya saya rasa begitu ingin memiliki awak. Lantas saya meminta agar awak jadi jodoh saya dalam setiap doa saya.”
Aku terkaku saat ucapan keramat itu dikatakan oleh dia. Terasa gembira apabila dia turut meminta agar aku menjadi jodohnya. Ya Allah. Benarkah kau takdirkan dia sebagai jodohku? Dia bercerita lagi perasaan terujanya melihat aku meneruskan pengajian di UIA. Tapi sebenarnya, ayahnya yang beritahu dekat mana aku sambung belajar jadi cepat-cepat dia masuk ruang sebab itulah kami boleh bertemu. Perasaan kasih yang dia miliki terhadapku membuatkan dia tidak dapat mengawal dirinya daripada terus mengambil berat fasalku. Sehingga dia lupa sikapnya itu bukan berlandaskan hukum Islam. Walaupun berusaha untuk bersikap biasa denganku tapi dia tak boleh. Perkara itu terus berlaku sehingga aku meminta untuk dia melayanku seperti yang lain. Barulah dia sedar keprihatinannya terlalu ketara sehingga menimbulkan rasa tidak enak di hatiku. Aku bertanya kepada, mengapa dia berikan alasan bahawa dia hanya melakukan demikian kerana amanah orang?
“Sebab saya rasa diamanahkan oleh arwah ayah awak untuk menjaga awak walaupun bukan dalam permintaan yang rasmi. Tambahan lagi sememangnya saya sangat-sangat ingin menjadi pelindung awak. Saya rasa bertanggungjawab ingin bahagiakan awak seperti orang lain. Saya nak awak lupakan segala penderitaan awak jika awak bersama dengan saya. Saya tahu sikap saya keterlaluan sangat, tapi saya tak mampu nak kawal perasaan itu.”
“Awak tahu, hati saya sakit apabila ayah cakap awak sudah bertunang. Saya tahu awak tak gembira dengan semua tu apabila ayah beritahu siapa lelaki itu. Sampai sahaja di UIA, saya terus cari awak. Dan nasib saya baik melihat awak sendirian di taman buatkan saya menghampiri awak. Sedih sangat melihat tubuh awak yang berbirat dan lebam, mata awak bengkak sebab terlalu banyak menangis. Tapi, kerana ada saya awak berhenti menangis jadi saya rasa tak puas hati. Sebab itulah saya suruh awak nangis. Lain pula jadinya melihat awak menangis teresak-esak. Tak tahan tengok air mata awak, saya hulurkan sapu tangan dekat awak. Awak tahu saya kutuk diri sendiri. Ya la tadi saya suruh nangis sekarang saya bagi sapu tangan pulak suruh lapkan. Dah tahu apa akibatnya, awak marah saya dan pergi. Dua minggu awak tak datang kuliah, saya risau sangat dengan keadaan awak. Jadi saya titipkan warkah buat awak. Tak tahu macam mana nak cakap gembiranya saya melihat awak ceria dan semangat untuk teruskan pengajian awak sampailah hari graduasi. Walaupun awak bersikap dingin dan seperti tidak mengenali saya, saya tak kisah. Asalkan awak bangun meneruskan hidup itupun sudah buatkan saya gembira.”
Aku tersenyum kecil mendengar kisahnya menceritakan setiap yang dirasa dikala menjadi salah seorang yang terlibat dalam hidup aku. Aku begitu tertarik apabila dia beritahu betapa risaunya dia waktu ayahnya menelefon ada beberapa orang penjahat kejar aku. Katanya mujur aku masuk kawasan pantai kerana dia sedang berehat di situ. Selepas mendapat panggilan daripada ayahnya, dia terus mencari aku. Wajahnya bertukar sayu apabila berkata dia melihat aku menikam dadaku sendiri dan berlari ke pantai untuk cubaan melemaskan diri. Tanpa berfikir panjang dia cuba menyelamatkan aku tetapi perlu berdepan dengan sikap degil aku yang hilang kawalan menyebabkan dia mengendong tubuhku pergi. Melihatkan aku seperti tidak bernafas dia mendudukkan aku dan sandarkan aku pada dadanya. Pipiku ditampar berkali cuba menyedarkan aku. Tapi melihat aku tiada tindak balas buatkan dia berasa sangat takut dan memeluk aku erat. Mujur pihak polis datang bersama ayahnya dan aku segera dikejarkan ke hospital. Kami diam lama setelah dia mengakhiri ceritanya itu.
“Boleh awak terima lamaran saya.” Dia bersuara memandang wajahku. Aku diam tidak menjawab hanya menunduk ke bawah.
“Saya tak akan paksa awak berikan jawapan hari ini. Seminggu ini, awak istikharahlah. Cuba pandang keikhlasan saya mencintai awak. Jangan melihat saya hanya simpatikan awak. Saya benar-benar inginkan awak menjadi isteri saya yang sah. Saya harapkan awak fikirkan lamaran saya dengan sebaik mungkin. Apapun keputusannya saya akan cuba terima dengan rela hati. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.”
Dan aku memberikan jawapan positif kepadanya. Bermula daripada itu, kini kami sah menjadi suami isteri. Walaupun sudah dua tahun, aku sentiasa cuba mengenali hati budinya. Aku memberikan dia sepenuh kasih sayang yang aku ada agar dia tidak merasa kekurangan memiliki aku sebagai isterinya yang hanya merupakan insan biasa. Semakin mengenali dirinya semakin buatkan aku sangat mencintainya. Dia tak pernah marahkan aku malahan sekiranya aku melakukan kesilapan dia akan menegurku dengan penuh kasih sayang dan kelembutan. Banyak yang aku belajar daripadanya. Kini, aku menjadi suri rumah sepenuh masa atas permintaannya. Dia ingin menjagaku dengan titik peluhnya sendiri walaupun dia tahu aku lebih mampu daripada dia. Sesungguhnya aku begitu tertarik dengan sikap rendah dirinya. Ya Allah terima kasih kabulkan permintaanku. Terima kasih jadikan dia jodohku. Sesungguhnya, aku mencintai-Nya kerana kasih-Mu, Ya Rabb. Jadikanlah kami dalam golongan hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa.
“Abang.. abang tahu tak dulu Ain selalu minta abang jadi jodoh Ain. Time tu Ain baru form five. Sebab abang la, hidup Ain jadi tunggang-langgang. Rasa macam nak saja cari abang dan jerit dekat abang. Weyh Fateh! Aku cinta kau la!” Wah rock pula rasanya melolong macam tu. Kami ketawa mengekek dengan ceritaku. Dia memeluk pinggangku yang ketiku itu diriku sibuk memotong sayur kubis & kangkung untuk dimasukkan bersama nasi goreng nanti.
“Tak sangkakan. Sayang pun minta abang jadi jodoh sayang. Abang pun dulu setiap hari minta sayang jadi jodoh abang. Lihat sayang kuasa Allah, sekiranya kita meminta dengan ikhlas tak mustahil bagi Allah untuk menunaikannya. Buktinya kita, kita disatukan dibawah rahmat dan kasih sayang-Nya.”
“Betul abang. Ain bersyukur sangat abanglah orang yang telah ditulis oleh Allah sebagai jodoh Ain di Luh Mahfuz. Ain harap jodoh kita akan kekal sampai ke syurga. Ain nak abang jadi pendamping Ain di syurga. Ain tak mahu yang lain. Ain tetap nak abang.”
“Insya-Allah. Berdoalah sayang semoga kita dikumpulkan di syurga nanti.” Aku mengangguk dengan kata-katanya.
“Sayang….” Dia memanggilku dengan nada yang lembut.
“Kenapa?” Aku berhenti dari meneruskan kerjaku. Tubuhku aku pusing mengadapnya dan memandang wajahnya yang putih bersih.
“Sayang abang?” Aku ketawa kecil mendengar pertanyaannya.
“Sayang abang ketat-ketat.” Laju aku mengucup pipinya dan memeluk tubuhnya erat. Dia ketawa dengan kenakalanku lantas membalas pelukanku erat. Kami disatukan dalam rahmat dan kasih sayang-Nya. Rabb, terima kasih kerana jadikan aku tulang rusuknya yang hilang. Aku sangat mencintainya kerana-Mu. Kumpulkanlah kami di syurga-Mu nanti. Kerana dia satu-satunya insan yang ingin aku temui di sana nanti. Amin..

-The End-
By Ainuo97


Terima kasih | Jangan lupa komen :D


Jaga Diri! Jaga Iman! Jaga Solat! Jaga Hati! Jaga Mata!


Salam Sayang | AinuoMZ

Comments

Popular posts from this blog

Puisi: Lebah dan Semut

Review Novel - Maia, Tiada Rahsia Tersembunyi

Ye Fei Ye